MBK keluar 60 kompaun, notis kacau ganggu

Keadaan sebuah rumah kongsi yang dikesan dibina dalam keadaan tidak selamat.
Keadaan sebuah rumah kongsi yang dikesan dibina dalam keadaan tidak selamat.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan 60 kompaun bersama notis kacau ganggu ke atas pemaju dan kontraktor yang didapati gagal menyelia tapak pembinaan dengan sempurna.

Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 29 tapak pembinaan di sekitar Kuantan dalam tempoh September hingga 2 November lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati, tahap kebersihan dan keselamatan tapak serta kepatuhan kepada syarat-syarat yang dikenakan gagal dipatuhi pihak terlibat.

Menurutnya, antara kesalahan paling banyak dikesan termasuk tapak pembinaan tidak diselia dengan sempurna dari segi pengurusan sampah selain tidak memasang papan perlindungan sementara (papan dendeng) dan pemasangan papan iklan projek tanpa permit.

"Hasil pemeriksaan turut mengesan ada rumah kongsi dibina menggunakan bahan tidak sesuai dan mudah terbakar yang boleh membahayakan keselamatan pekerja.

"Kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 82 dan 78, Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-undang Kecil Iklan( MPK) 1983," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Norkamawati berkata, bagi kesalahan membiarkan tapak pembinaan dalam keadaan kotor, pemaju atau kontraktor terlibat dikenakan kompaun RM1,000 dan RM250 bagi papan iklan projek tanpa permit.

"Pemeriksaan itu dilakukan susulan aduan berkenaan dengan kacau ganggu berpunca dari tapak-tapak binaan sekitar bandar Kuantan terutama yang berhampiran kawasan kediaman.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pemaju dan kontraktor perlu memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.