Perkobf digalak tubuh koperasi, bantu ahli perkukuh perniagaan

Noh (tengah) merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan Perkobf di Hotel Grand Barakah pada Selasa.
Noh (tengah) merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan Perkobf di Hotel Grand Barakah pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) digalakkan mengaktifkan koperasi dalam usaha membantu ahli-ahlinya memperkukuh perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, memandangkan jumlah kontraktor kelas F yang mencecah hampir 42,000 ahli, Perkobf tidak boleh bergantung kepada tender kerajaan semata-mata.

Menurutnya, Perkobf perlu mengubah landskap perniagaan dengan menceburi bidang pembinaan dan pembekalan bahan mentah.

"Diharap Perkobf dapat mengembangkan perancangan untuk membantu ahli-ahli mereka. Jika harapkan peluang daripada kerajaan sahaja mungkin agak sukar kerana jumlah kontraktor lebih ramai daripada peluang pekerjaan.

"Sudah tiba masa Perkobf melibatkan diri dalam bidang pembinaan melalui koperasi yang digerakkan bagi memulakan perniagaan alat-alat binaan serta membantu kontraktor membeli bahan-bahan pembinaan," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan Perkobf di Hotel Grand Barakah pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Presiden Perkobf, Tukiman Radion.

Artikel Berkaitan:

Noh (tengah) merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan Perkobf di Hotel Grand Barakah pada Selasa.
Noh (tengah) merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan Perkobf di Hotel Grand Barakah pada Selasa.

Beliau berkata, melalui penubuhan koperasi itu juga dapat membantu kontraktor mendapatkan pinjaman.

"Kontraktor kelas F sukar dapat pinjaman, justeru melalui koperasi ia boleh menjadi kredit yang memberikan pinjaman kepada ahli-ahli mereka.

"Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga mempunyai peruntukan tertentu untuk membantu koperasi yang mempunyai ahli ramai untuk kegunaan modal serta kos bahan binaan," katanya.

Noh berkata, beliau yakin koperasi yang diuruskan dengan baik boleh meringankan beban kontraktor kelas F.

Sementara itu, Tukiman berharap lesen kontraktor kelas F dihentikan sementara memandangkan jumlahnya yang terlalu ramai memberi kesan kepada kontraktor sedia ada.

"Diharap agensi berkaitan dapat memantau isu ini memandangkan jumlahnya yang dahulu hanya 20,000 kini telah meningkat kepada 42,000 orang.

"Pengeluaran lesen yang tidak terkawal ini juga menyumbang kepada kewujudan kartel sehingga menyebabkan persaingan dan menjejaskan kontraktor sedia ada," katanya.