PN mampu memang tiga kerusi di Alor Gajah

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

ALOR GAJAH - Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Md Yusof meletakkan keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi tiga daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu.

Menurutnya, DUN tersebut adalah Rembia, Asahan dan Machap.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi pada 20 November depan.

"Saya boleh meramalkan di DUN Alor Gajah, kita akan mendapat kemenangan tiga kerusi. Ini bukan spekulasi, tetapi atas dapatkan data namun ia terpulang kepada berapa ramai yang keluar mengundi nanti.

"Semalam ada ratusan orang UMNO akan berhijrah kepada PN dan serahkan borang keahlian kerana ada rakyat yang sudah memahami perjuangan kita," katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah pada Selasa.

Redzuan berkata, potensi kemenangan bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan adalah berdasarkan kepada populasi campuran pengundi di kawasan itu.

"(Contohnya) peluang kita cerah di Machap, kerana dahulunya kalau dilihat kerusi-kerusi ini adalah kerusi campuran. Saya lihat rakyat suka kepada penyandangnya dahulu tetapi beliau tidak bertanding. Bagaimanapun dia selalu bergerak dengan saya dan rapat dengan komuniti di situ.

"Jadi saya yakin jika kita buat kerja kuat sikit dengan jentera mampu memberikan peluang (kemenangan) kepada calon kita di ketiga-tiga kerusi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mahu agar semua calon diberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa kempen PRN Melaka bagi mendapatkan momentum PRN seterusnya menggalakkan lebih ramai keluar mengundi.

"Walaupun kita tidak menanda aras imuniti kelompok dan kita mahu semua rakyat mengambil suntikan vaksinasi, tetapi kita tengok penurunan kes hari ini, saya sarankan sekiranya untuk menggalakkan ramai keluar mengundi, kita longgarkan SOP," katanya.