Covid-19: 5,403 kes baharu, hanya 1.9 peratus kategori 3 hingga 5

KKM melaporkan kes harian Covid-19 meningkat kepada 5,403 pada Selasa berbanding 4,543 pada Isnin. Gambar hiasan
KKM melaporkan kes harian Covid-19 meningkat kepada 5,403 pada Selasa berbanding 4,543 pada Isnin. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 5,403 kes baharu positif Covid-19 pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu hanya 1.9 peratus atau 102 kes adalah kategori tiga hingga lima.

Menurutnya, sebanyak 5,301 kes atau 98.1 peratus lagi merupakan kategori satu dan dua.

"Jumlah kes baharu itu turut terdiri daripada 25 kes import yang membabitkan 16 rakyat tempatan dan sembilan warga asing.

"Sejumlah 5,378 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 5,155 rakyat tempatan dan 223 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah 2,516,255.

"Terdapat 545 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dalam 270 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut merekodkan 5,311 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,425,054 kes bersamaan dengan 96.38 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Hisham berkata, lima kluster baharu berkaitan Covid-19 turut dikesan dengan empat kluster tempat kerja dan satu pendidikan tinggi.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,817 dan 5,510 daripadanya telah diisytiharkan tamat, manakala 307 kluster masih aktif," katanya.

Sementara itu, katanya, empat negeri termasuk Putrajaya mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) melebihi nilai satu.

"Kadar Rt Putrajaya adalah 1.06 dan Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta Selangor masing-masing pada nilai satu.

"Melaka, Sabah dan Kelantan pula 0.97, Perlis dan Kedah (0.96), Pulau Pinang (0.92), Sarawak (0.89), Johor (0.88), Terengganu (0.86), Perak (0.84) dan Labuan (sifar). Nilai Rt negara pula adalah 0.94," katanya.