TNB mohon maaf, kabel rosak punca gangguan bekalan elektrik

Kerja-kerja baik pulih giat dilaksanakan oleh TNB berhubung gangguan bekalan elektrik di Taman Sri Putra dan Taman Mulia, di sini.
Kerja-kerja baik pulih giat dilaksanakan oleh TNB berhubung gangguan bekalan elektrik di Taman Sri Putra dan Taman Mulia, di sini.
A
A
A

BANTING - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon maaf susulan isu gangguan bekalan elektrik yang dilaporkan kerap berlaku di Taman Sri Putra dan Taman Mulia, di sini.

Pengurus Besar TNB Negeri (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya), Ir Ahmad Rezahan Mohammad berkata, gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada kerosakan kabel pencawang elektrik Taman Mulia dan Taman Mulia 2.

Beliau berkata, kerja-kerja menambah baik pemasangan terlibat sedang giat dilaksanakan bermula Jumaat lalu dan dijangka siap pada 21 November ini.

"Sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Carelina," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kegusaran penduduk di Taman Seri Putra di sini yang berharap agar isu gangguan bekalan elektrik di kawasan kediaman mereka sejak dua bulan lalu dapat diselesaikan segera.

Gangguan berkenaan dikatakan berlaku hampir setiap minggu sehingga menyukarkan mereka melakukan aktiviti harian.

Seorang penduduk, Ibrahim Mohamad, 59, berkata, dia telah beberapa kali memanjangkan isu berkenaan kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas secara rasmi diterima berhubung permasalahan itu.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar yang turut berkesempatan turun padang bagi meninjau keadaan di sana sebelum ini juga memaklumkan pihaknya akan cuba mendapatkan maklum balas TNB berhubung situasi yang berlaku itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:'Hampir setiap minggu hadapi gangguan bekalan elektrik'