'Hampir setiap minggu hadapi gangguan bekalan elektrik'

Mesin geenrator yang disediakan di kawasan taman itu berikutan daripada permasalahan berkenaan.
Mesin geenrator yang disediakan di kawasan taman itu berikutan daripada permasalahan berkenaan.
A
A
A

BANTING - Penduduk di Taman Seri Putra di sini berharap agar isu gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di kawasan kediaman mereka sejak dua bulan lalu dapat diselesaikan segera.

Difahamkan, gangguan berkenaan berlaku hampir setiap minggu sehingga mengundang menyukarkan mereka melakukan aktiviti harian.

Seorang penduduk, Ibrahim Mohamad, 59, berkata, dia telah beberapa kali memanjangkan isu berkenaan kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas secara rasmi diterima berhubung permasalahan itu.

"Gangguan bekalan elektrik ini sememangnya menyukarkan, tambahan pula saya sendiri mengalami masalah pernafasan dan perlu menggunakan bantuan mesin oksigen ketika tidur.

"Malah, keadaan juga semakin sukar apabila berlaku gangguan ini kerana saya juga perlu menjaga seorang anak kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, dia juga pernah tidur di dalam kereta selama lima jam sementara menunggu pihak berwajib menghantar set generator ke kawasan taman itu berikutan gangguan bekalan elektrik pada waktu malam.

Ibrahim (kiri) berbincang bersama Xavier (tiga dari kiri) berhubung masalah gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Ibrahim (kiri) berbincang bersama Xavier (tiga dari kiri) berhubung masalah gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

"Saya terpaksa gunakan kereta ketika itu kerana kehidupan kami amat memerlukan bekalan elektrik pada setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk mendapat maklumat masalah ini berlaku disebabkan oleh isu berkaitan kabel, namun apa yang mengecewakan ialah tiada sebarang pemakluman rasmi dibuat oleh pihak terlibat berhubung masalah sebenar di sini," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Awang Long Mohamad, 70, berkata, selain penduduk di taman itu, beberapa kawasan berhampiran dan premis perniagaan turut mengalami masalah sama.

"Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana sangat menyukarkan penduduk setempat bagi menjalani kehidupan seharian," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar yang turut berkesempatan turun padang bagi meninjau keadaan di sana memaklumkan bahawa pihaknya akan cuba mendapatkan maklum balas daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung situasi yang berlaku berhubung permasalahan itu.

Menurutnya,, TNB perlu segera mencari punca permasalahan dan mengambil langkah penyelesaian jangka pendek dengan cepat bagi memastikan isu itu dapat diatasi segera.

"Saya difahamkan terdapat hampir 1,000 rumah kediaman di taman ini terjejas dengan isu ini.

"Sebagai sebuah syarikat besar, tanggungjawab TNB juga adalah berat dan disebabkan itulah isu-isu sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin," ujarnya.