Kadar kebolehpasaran graduan turun 1.8 peratus

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendedahkan kadar kebolehpasaran graduan menunjukkan penurunan sebanyak 1.8 peratus iaitu dari 86.2 peratus pada 2019 kepada 84.4 peratus pada tahun 2020.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penurunan kadar kebolehpasaran graduan itu hasil Kajian Pengesanan Graduan yang dilaksanakan oleh KPT pada musim konvokesyen.

“Bagi kadar kebolehpasaran graduan pada tahun 2021 pula, keputusan hanya akan diperoleh pada bulan Februari tahun 2022,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanyakan peratus kadar kebolehpasaran graduan yang tamat pengajian pada tahun 2019 sehingga tahun 2021 sama ada berlaku sebarang penuruan ketara.

Mengulas lanjut, Noraini turut menyenaraikan beberapa langkah yang dilaksanakan oleh kementeriannya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Pertama, melaksanakan program latihan berbentuk 'reskilling' dan 'upskilling'. Melalui usaha ini, graduan universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang masih belum bekerja ditawarkan tempat untuk mengikuti program-program latihan berbentuk 'reskilling' dan 'upskilling'.

“Kedua, melaksanakan program intervensi kebolehpasaran graduan. Program intervensi ini memberi nilai tambah kepada graduan yang dikenal pasti rendah kadar kebolehpasarannya iaitu CGPA 3.3 ke bawah atau daripada program-program pengajian yang rendah kadar kebolehpasaran iaitu 50 peratus ke bawah,” jelasnya.

Menurutnya, langkah yang lain ialah melaksanakan Program Latihan Industri Berstruktur (SIP) serta menyemak dan menambah baik secara berkala kandungan modul dan program akademik yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

“Saringan dilaksanakan bersama beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perangkaan Malaysia, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh, TalentCorp, badan profesional lain bagi memastikan program akademik atau bidang pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) sejajar dengan keperluan guna tenaga negara.

“Kelima, membangunkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 hingga 2025. Pelan ini dihasilkan hasil daripada libat urus pelbagai pihak berkepentingan seperti pihak industri, akademia, pembuat dasar dan sebagainya,” ujarnya.