CIDB, MRCB tingkat kebolehpasaran graduan TVET

Alexander (lima dari kiri) bersama wakil CIDB dan MRCB.
Alexander (lima dari kiri) bersama wakil CIDB dan MRCB.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah bekerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam industri pembinaan Malaysia.

Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) oleh CIDB Holdings, anak syarikat CIDB Malaysia dan MRCB dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia yang juga Pengerusi CIDB Holdings, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid mewakili CIDB Holdings manakala Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim bagi pihak MRCB untuk menandatangani MoU itu yang disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir Ketua Setiausaha 2 Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings, Supian Musa.

CIDB dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi pembangunan kompetensi pelatih TVET termasuk kurikulum, tenaga pengajar serta infrastruktur latihan.

Alexander (tengah) menyaksikan wakil CIDB dan MRCB menandatangani MoU untuk bekerjasama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET di Malaysia.
Alexander (tengah) menyaksikan wakil CIDB dan MRCB menandatangani MoU untuk bekerjasama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET di Malaysia.

“Program kerjasama ini akan memberi tumpuan khusus kepada Pembinaan Modular iaitu satu kaedah pembinaan mampan yang mampu mengurangkan sisa dan pelepasan karbon, serta mengurangkan pergantungan industri kepada tenaga buruh asing,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, MoU itu ditandatangani berikutan pembentangan Bajet 2023 yang menyebut MRCB sebagai peneraju industri pembinaan yang dikenal pasti untuk memperkasakan kerjasama awam swasta dalam memastikan program-program TVET dapat memenuhi tuntutan industri.

“Menerusi kerjasama ini, MRCB akan memberikan sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, pembangunan kurikulum dan bahan latihan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“MRCB akan memberi sumbangan khidmat kepakaran dalam peningkatan kebolehpasaran graduan TVET dalam pembangunan kompetensi termasuk kurikulum, tenaga pengajar serta infrastruktur latihan,” katanya.

MRCB berkata, pihaknya juga akan memberi pertimbangan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET yang berkelayakan.

Alexandar (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama wakil CIDB dan MRCB yang hadir pada majlis MoU itu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Alexandar (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama wakil CIDB dan MRCB yang hadir pada majlis MoU itu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

“CIDB Holdings pula akan berkongsi maklumat dan kepakaran, berkaitan pembangunan kapasiti dan program latihan kecekapan kemahiran, inovasi dan teknologi pembinaan yang boleh menambah nilai kepada bidang pembinaan dan lainlain seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“CIDB Holdings juga akan memberi kerjasama dengan memberi input dan menyokong inisiatif penambahbaikan latihan melalui penambahbaikan kurikulum dan bahan pembelajaran. Perlaksanaan kerjasama ini akan melibatkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Tech, iaitu pusat latihan yang dikelolakan CIDB melalui CIDB Holdings,” kata kenyataan itu.