Tourism Malaysia tiada perancangan tambah pegawai di pejabat luar negara

Santhara Kumar - Foto fail Bernama
Santhara Kumar - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia buat masa ini tidak mempunyai perancangan menambah bilangan pegawai untuk ditempatkan di pejabat-pejabat luar negara bagi mempromosikan tempat pelancongan Malaysia pasca pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, ini kerana sebarang penambahan perjawatan dan pejabat di luar negara perlu mengambil kira pelbagai faktor, terutamanya implikasi kewangan yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, program-program promosi tetap akan diteruskan oleh Ibu Pejabat serta Pejabat-pejabat Cawangan Tourism Malaysia dalam dan juga luar negara sedia ada.

“Ini tentu sekali, antara lain akan menggunakan kelebihan teknologi dan trend terkini seperti penggunaan promosi dan pengiklanan digital secara dalam talian, hybrid serta menggunakan platform media sosial.

“Pada masa yang sama, pegawai Tourism Malaysia di luar negara turut boleh membuat promosi di negara-negara berhampiran dengan kedudukan pejabat mereka sedia ada.

“Sebagai contoh, pegawai kita yang berada di Pejabat Tourism Malaysia Paris boleh hadir dan melaksanakan aktiviti promosi secara fizikal di Sepanyol atau Portugal jika perlu,” katanya ketika waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang mahu kementeriannya menyatakan sama ada Tourism Malaysia akan menambah pegawai-pegawainya di luar negara bagi mempromosikan tempat pelancongan Malaysia pasca pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Santhara berkata, setakat 9 November tahun ini, Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempunyai 30 pejabat Tourism Malaysia Luar Negara yang sedang beroperasi di lebih 20 negara di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perjawatan pegawai 'home-based' di setiap pejabat ini adalah seramai 2 orang, yang mana buat masa ini seramai 36 orang pegawai sedang mengisi perjawatan di kesemua pejabat luar negara tersebut.