Polis Perak keluar lebih 800 kompaun sejak rentas negeri dibenarkan

Mior Faridalathrash (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak antara Mazlan (kiri) dan Azizi di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di Ipoh pada Isnin.
Mior Faridalathrash (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak antara Mazlan (kiri) dan Azizi di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 875 kompaun dikeluarkan di Perak atas pelbagai kesalahan melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu sehingga Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah membabitkan kegagalan mengimbas kod aplikasi MySejahtera atau merekodkan kehadiran dalam buku sebanyak 478 kompaun, selain tidak memakai pelitup muka (211) dan tiada penjarakan fizikal (68).

Menurutnya, hasil pemantauan dan penguatkuasaan turut mengesan kesalahan membabitkan individu yang tidak lengkap vaksin Covid-19.

"Antara kesalahan itu ialah keluar rumah tanpa lengkap divaksin sebanyak 54 kompaun, makan dalam premis (12), merentas sempadan (tujuh) dan melakukan aktiviti sukan tanpa lengkap divaksin (tujuh).

"Turut dikompaun ialah 22 pemilik premis yang gagal memastikan pelanggan daftar masuk dan memeriksa suhu serta tidak mematuhi waktu operasi (enam).

"Kesalahan lain melibatkan enam kompaun bagi perjumpaan sosial dan mabuk serta empat kes enggan menjalani kuarantin," katanya ketika sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan sebanyak 65 kompaun hasil pemeriksaan terhadap 3,924 kilang semasa penguatkuasaan Ops Patuh di seluruh negeri sejak 2 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, daerah Ipoh merekodkan kompaun tertinggi iaitu 23 kesalahan, diikuti Taiping (13), Manjung (lapan), Batu Gajah, Hilir Perak dan Kerian masing-masing enam kompaun serta Sungai Siput (tiga).

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan pasukan kita bukan sahaja tertumpu di lokasi tumpuan orang ramai, malah pemantauan di kilang-kilang juga masih diteruskan.

"Ketika ini, kadar jangkitan kes positif semakin menurun. Oleh itu kita akan terus memantau pematuhan SOP dan mengenakan kompaun kepada sesiapa yang sengaja ingkar kesalahan ditetapkan untuk memastikan tiada lagi jangkitan baharu berlaku," ujar beliau.

Pada majlis itu, Mior Faridalathrash turut menyaksikan serah terima tugas membabitkan tiga jawatan dalam Kontinjen Perak.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai akan bersara wajib bermula 9 November ini selepas lebih 39 tahun dalam perkhidmatan PDRM.

Jawatan berkenaan diisi Datuk Azizi Mat Aris yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin pula bertukar ke Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman.

Mengambil alih jawatan Mohd Alwi ialah Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Bagi jawatan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak yang disandang Datin Rosiah Timah Jamiyor akan diambil alih oleh Datin Wanita Wari.