Rezeki baiki bot musim tengkujuh

Mustaqim melakukan kerja-kerja mengecat dan membaiki bot pelanggan pada musim tengkujuh.
Mustaqim melakukan kerja-kerja mengecat dan membaiki bot pelanggan pada musim tengkujuh.
A
A
A

KOTA BHARU - Musim tengkujuh yang mula melanda pantai timur Semenanjung termasuk Kelantan memberi rezeki kepada seorang nelayan yang mengambil upah membaiki bot di Kampung Pantai Pulau Kundor di sini.

Mustaqim Mat Husin, 48, berkata, musim tengkujuh menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut kerana berbahaya dan tempoh itulah yang digunakan untuk membaik pulih kerosakan bot.

Menurutnya, sehingga kini lebih 17 bot jenis fiber dihantar oleh nelayan-nelayan di kawasan sekitar untuk dibaiki seperti menampal kebocoran, mengecat dan membaiki atap yang koyak.

“Saya menerima permintaan untuk membaiki bot sejak bulan lalu. Tujuh bot telah disiapkan dan diambil oleh pelanggan.

“Sebanyak 10 buah bot lagi masih dalam proses membaik pulih yang biasanya mengambil masa paling awal dua minggu atau paling lewat sebulan untuk disiapkan, bergantung kepada kerosakan bot,” katanya kepada Sinar Harian di Pantai Pulau Kundor di sini pada Ahad.

Jelas Mustaqim lagi, upah pula bergantung kepada jenis kerosakan dan kos alat ganti yang diperlukan.

MUSTAQIM MAT HUSIN
MUSTAQIM MAT HUSIN

"Dalam ratusan ringgit dan paling tinggi upah yang pernah dibayar pelanggan adalah sebanyak RM6,000.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyediakan perkhidmatan membaiki bot bagi mencari sumber pendapatan semasa musim tengkujuh, tambahan pula tidak ramai yang menawarkan perkhidmatan sebegini di kawasan ini,” katanya.

Tambah Mustaqim, upah yang diperoleh dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan isteri dan lima orang anaknya ketika dia tidak dapat turun ke laut mencari rezeki.

“Kebiasaannya pada penghujung tahun dan awal tahun, nelayan akan berehat dan menyambung semula kerja menangkap ikan selepas tamat monsun,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mohd Faisan Mohd Husin, 38, berkata, dia akan ‘bercuti’ dan ‘menggantung pukat’ bermula Oktober atau November setiap tahun.

Mustaqim mengambil upah mengecat dan membaik pulih bot semasa nelayan ‘bercuti’ daripada turun ke laut pada musim tengkujuh.
Mustaqim mengambil upah mengecat dan membaik pulih bot semasa nelayan ‘bercuti’ daripada turun ke laut pada musim tengkujuh.

“Ketika ini ada waktu cuaca cerah masih lagi boleh turun ke laut untuk menjala udang sejauh empat hingga lima kilometer dari pesisiran pantai.

“Kalau gunakan bot fiber, tak boleh pergi terlalu jauh ke tengah laut kerana ombak kuat dan perlu bercuti sehingga tamat monsun yang dijangka pada Mac tahun depan,” kata Mohd Faisan.