Enam lelaki direman bantu siasatan kes bunuh ah long

Seorang lelaki dipercayai ah long maut ditetak di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang pada Sabtu. Gambar kecil: Shamsul Amar
Seorang lelaki dipercayai ah long maut ditetak di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang pada Sabtu. Gambar kecil: Shamsul Amar
A
A
A

KLANG - Seramai enam lelaki direman sehari bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan seorang individu yang dipercayai ah long di Bandar Bukit Tinggi di sini pada Sabtu.

Perintah reman bermula Ahad terhadap kesemua lelaki terbabit dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Klang, Sarina Sulaiman.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua lelaki berusia 27 hingga 54 tahun itu ditahan di sekitar Klang dan Banting pada Sabtu dan Ahad.

"Tangkapan bermula pada jam 6.30 petang Sabtu sehingga 2 pagi Ahad. Motif kejadian dipercayai akibat dendam," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipercayai ah long maut ditetak di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang.

Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah hari, mangsa yang berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah dan maut di hadapan sebuah restoran lain.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 10 dan 18 tahun telah pergi ke sebuah restoran untuk menikmati makanan kira-kira jam 11.50 pagi.

Sebaik selesai makan, setengah jam kemudian tiga beranak itu berjalan kaki menuju ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya yang diletakkan kira-kira 30 meter dari restoran itu.

Artikel Berkaitan:

Semasa hendak membuka pintu kereta, mangsa telah didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang dari arah belakang dan dua daripada mereka kemudiannya terus menetak mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dipercayai tetak ah long sampai mati diberkas

Lelaki dipercayai ah long maut ditetak