Penjana 2.0: Tiga individu direman bantu siasatan

Tiga lelaki direman bermula pada Selasa bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian mengandungi butir matan palsu. - Gambar hiasan.
Tiga lelaki direman bermula pada Selasa bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian mengandungi butir matan palsu. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga lelaki direman bermula pada Selasa bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian mengandungi butir matan palsu.

Kes itu membabitkan tuntutan berjumlah lebih RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana 2.0).

Perintah reman selama tiga dan empat hari terhadap dua pengarah syarikat perkhidmatan penghantaran dan pemilik syarikat kejuruteraan itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berusia antara 40 hingga 61 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor di sini, lewat petang semalam, ketika hadir memberikan keterangan.

"Syarikat yang menjalankan perkhidmatan penghantaran ini dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM900,000 pada 2020 hingga 2022, manakala syarikat kejuruteraan itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM140,000 pada 2021,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama