Lelaki dipercayai ah long maut ditetak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki dipercayai ah long maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 12.34 pagi.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa berumur 47 tahun itu datang ke restoran berkenaan bersama dua anaknya yang masing-masing berumur 10 dan 18 tahun.

"Selesai makan sekitar jam 12.20 pagi, mangsa dan dua anaknya berjalan kaki ke kereta jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sebaik hendak membuka pintu kereta miliknya, mangsa didatangi tiga individu bersenjatakan parang sebelum dua daripadanya bertindak menetak mangsa.

"Mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan dijalankan mendapati terdapat empat suspek terlibat dalam kejadian tersebut di mana salah seorang daripada suspek dipercayai pemandu yang menunggu dalam kereta di tepi jalan raya menghala keluar ke Persiaran Batu Nilam (belakang kereta mangsa)," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, siasatan turut mendapati mangsa bekerja sebagai pemberi pinjaman wang (ah long) yang mempunyai pejabat di kawasan Bukit Tinggi Klang, Shah Alam dan Kajang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa turut didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

"Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.