X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Klinik Usahawan Agro galak belia ceburi bidang pertanian

Haslina (enam dari kanan) bergambar bersama usahawan yang menerima Geran Agropreneur Muda di Majlis Perasmian Klinik Usahawan Agro negeri Perlis di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Sabtu.
A
A

ARAU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menganjurkan Klinik Usahawan Agro peringkat negeri Perlis untuk membantu usahawan-usahawan muda melalui penglibatan jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, penganjuran klinik itu juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan golongan muda dan belia menceburi bidang pertanian.

Katanya, program itu adalah persediaan dari segi ilmu pengetahuan berkaitan projek pertanian dan industri makanan yang ingin diceburi kepada kumpulan sasar.

"Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka supaya dapat menjana pendapatan yang tinggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Usahawan Agro di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pihak MAFI juga sentiasa berusaha untuk mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

"Oleh itu saya menyeru anak-anak muda yang berminat dalam bidang pertanian agar merebut peluang yang ada untuk menjadi pelapis dan pemain dalam bidang pertanian di negara kita," katanya.

Haslina menambah, persepsi golongan belia terhadap bidang pertanian perlu terus diperbaiki bagi meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam bidang itu, sekali gus berupaya untuk meremajakan sektor berkenaan.

"Berdasarkan kajian, golongan muda dikenal pasti sebagai kelompok utama yang cenderung atau terbuka menerima teknologi-teknologi pertanian moden seperti 'internet of things' (IOT), 'precision farming' dan 'smart farming'.

"Penglibatan mereka dalam bidang pertanian juga boleh mengurangkan pengangguran, mengatasi kemiskinan serta meningkatkan bekalan makanan dalam negara sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada import makanan di masa akan datang," katanya.

Katanya, setakat ini daripada 14.6 juta belia di negara ini, hanya 15 peratus yang terlibat dalam bidang pertanian, manakala kajian menunjukkan hanya empat peratus pelajar di universiti yang mempertimbangkan kerjaya dalam bidang itu.

"Kementerian memberikan fokus khusus kepada golongan muda antaranya melalui Program Agropreneur Muda bertujuan untuk menggalakkan penglibatan individu berumur 18 hingga 40 tahun menceburi bidang pertanian merentasi semua subsektor agromakanan.

Menurut Haslina sehingga kini, kementeriannya telah berjaya membantu seramai 7,528 orang agropreneur muda dengan peruntukan lebih RM134 juta melalui kelulusan geran dan pembiayaan di bawah program itu sejak tahun 2016.

"Jadi rebutlah peluang yang telah disediakan, timba ilmu agar kita berjaya di dalam setiap projek dan perniagaan yang kita ceburi," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!