Belia digalakkan ceburi tanaman koko

Fadillah (tengah) yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ditemui media selepas merasmikan Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi 2023, pada Isnin. - Foto Bernama
Fadillah (tengah) yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ditemui media selepas merasmikan Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi 2023, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Golongan belia digalakkan merebut peluang bagi menceburi industri koko susulan perancangan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk membuka 200 hektar kawasan tanaman koko baharu di seluruh negara pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, anak muda tempatan terlatih diperlukan bagi mengembangkan potensi komoditi berkenaan, bersesuaian dengan kehendak revolusi industri 4.0 (IR4.0) yang memfokuskan penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi.

"Kita menuju IR4.0... kerana itu kita perlukan belia kerana mereka dilatih secara teknikal dan mereka lebih mesra gajet. Maknanya, kita menggunakan semua teknologi untuk memastikan kita memodenkan sektor perladangan dan pertanian kita in what way we can benefit supaya pemain industri dapat menambah hasil," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi 2023 di sini, pada Isnin.

Fadillah berkata, bagi meningkatkan penanaman industri koko negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneliti secara keseluruhan ekosistem industri koko membabitkan peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

"Kebiasaannya syarikat besar mempunyai dana untuk beralih kepada mekanisasi dan automasi namun bagi syarikat dan pekebun kecil, mereka boleh memohon bantuan daripada kerajaan dan kita sedia membantu," katanya.

Pada 11 Jun lepas, KPK dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan tanaman baharu itu meliputi 110 hektar di Sabah, 80 hektar di Semenanjung Malaysia dan 10 hektar di Sarawak.

Setakat ini, jumlah keluasan tanaman koko negara adalah 5,985 hektar, iaitu 3,444 hektar di Sabah, 1,454 hektar di Sarawak dan 1,087 hektar di Semenanjung. - Bernama