Lima pengedar ganja dicekup

Ketulan mampat dadah dipercayai ganja dan beberapa peket mengandungi ceraian daun disyaki ganja dirampas.
Ketulan mampat dadah dipercayai ganja dan beberapa peket mengandungi ceraian daun disyaki ganja dirampas.
A
A
A

SUBANG JAYA - Lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran ganja dalam beberapa siri serbuan di sini dan Bukit Jelutong, Shah Alam pada pada Isnin serta Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, serbuan dibuat oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan IPD Shah Alam.

"Serbuan pertama pada 1 November (Isnin) sekitar jam 7 malam di sebuah rumah di Subang Jaya telah menangkap seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an bersama 33 paket lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja anggaran berat 307 gram.

"Serbuan pada 2 November (Selasa) sekitar jam 1.30 petang, telah menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia lewat 20-an di kawasan lobi sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, Shah Alam bersama ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja (anggaran berat 490.5 gram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abd Khalid memberitahu, hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya menahan dua lelaki dipercayai rakannya berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah unit kediaman di pangsapuri tersebut.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut polis menjumpai sembilan paket lut sinar berisi ceraian dedaun kering disyaki dadah jenis ganja (berat dianggarkan 51.10 gram) dan sepeket plastik lut sinar berisi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 1.26 gram," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an ditahan dalam serbuan berasingan ke atas sebuah kereta di Taman Perindustrian UEP Subang Jaya sekitar jam 4 petang pada Selasa.

"Hasil tangkapan berkenaan polis membuat pemeriksaan di rumah suspek di USJ 5 Subang Jaya dan menjumpai satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 1,033 gram disimpan di dalam kotak.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis juga telah menyita sebuah kereta Perodua Bezza bagi tujuan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakkan harta) 1988," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati, empat daripada mereka positif dadah jenis THC manakala semakan mendapati hanya seorang suspek mempunyai dua jenayah lampau.

"Mahkamah Shah Alam membenarkan suspek pertama direman sehingga 8 November (Isnin) manakala suspek lain sehingga 9 November (Selasa)," jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.