Penduduk pulau memiliki MyKad sebelum musim tengkujuh

Mohamad Nasir (kanan) menyerahkan MyKad kepada salah seorang murid Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Besut.
Mohamad Nasir (kanan) menyerahkan MyKad kepada salah seorang murid Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Besut.
A
A
A

BESUT- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu mengambil inisiatif awal bagi memastikan semua penduduk pulau di negeri ini memiliki MyKad sebelum masuk musim tengkujuh.

Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, usaha itu diambil bagi memastikan tidak timbul isu kelewatan permohonan MyKad terutama bagi pemohon kali pertama yang berusia 12 tahun.

Menurutnya, semua sedia maklum, apabila masuknya musim tengkujuh kebiasaannya hubungan antara penduduk pulau dan darat berdepan sedikit gangguan disebabkan faktor cuaca selain keadaan ombak yang agak besar sekali gus mengundang risiko berbahaya.

"Jadi disebabkan itulah kami mengambil inisiatif awal turun ke pulau-pulau di negeri ini bermula seawal September lalu bertujuan untuk menyelesaikan masalah berkait dokumen pengenalan diri mereka.

"Bagi pemohon MyKad kali pertama yang layak, kita akan pastikan mereka memiliki dokumen penting ini untuk memudahkan urusan pendaftaran sekolah masing-masing nanti," katanya dalam satu kenyataan sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) MEKAR ' Penyerahan Dokumen Pengenalan diri JPN' di Pulau Perhentian pada Jumaat.

Sempena program penyerahan dokumen itu yang diadakan di Dewan Balai Bomba Pulau Perhentian, seramai 23 penduduk menerima MyKad termasuk permohonan kali pertama berusia 12 tahun turut menerima MyKad masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, bagi penduduk yang masih belum memiliki MyKad, pihaknya akan memastikan mereka memilikinya agar tidak timbul permasalahan berbangkit pada masa akan datang.

"Kami tidak mahu disebabkan mereka tidak memiliki dokumen penting terutamanya bagi mangsa banjir, mereka akan ' terlepas' bantuan disediakan kerajaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di lokasi berisiko banjir agar menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat.

"Biasanya tahun- tahun sudah, jumlah aduan kehilangan atau rosak berkait dokumen penting meningkat selepas banjir, jadi individu yang tahu bakal berdepan risiko banjir, mereka perlu bersiap sedia apabila masuknya musim tengkujuh ini.

" Jangan tunggu bila musibah melanda, baru hendak menyelamatkan dokumen penting ini. Risikonya sekiranya dokumen penting hilang atau rosak, mereka akan dikenakan denda yang ditetapkan selain tidak dapat memohon bantuan- bantuan disediakan kerajaan," ujarnya.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya sentiasa prihatin dalam menjalankan aktiviti turun padang yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat selaras dengan slogan ‘Rakyat Di Hati JPN’.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi talian 03-8880 8014/7077 atau e-melkan ke mekar@jpn.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung Program MEKAR atau untuk mendapatkan janji temu bagi perkhidmatan itu di http://mekar@jpn.gov.my.