Kelantan belanja RM1.3 juta bantu petani, penternak, nelayan

Tuan Mohd Saripudin (kiri) menunjukkan demostrasi memasak sempena merasmikan pembukaan semula My Best Buy di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong pada Jumaat.
Tuan Mohd Saripudin (kiri) menunjukkan demostrasi memasak sempena merasmikan pembukaan semula My Best Buy di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM1.3 juta diperuntukan oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan petani, penternak dan nelayan yang terkesan dengan Covid-19 menerusi sumbangan sekali untuk tahun 2021.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sumbangan ini bagi memastikan golongan berkenaan dapat 'bernafas' dalam meneruskan aktiviti yang diceburi mereka supaya dapur mereka terus berasap.

"Setiap mereka yang terjejas ini menerima sumbangan berjumlah RM200 daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan semula My Best Buy di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad.

Menurutnya, kerajaan sentiasa fokus membantu petani, nelayan, penternak dan nelayan yang terjejas kerana mereka adalah 'wira' dalam memastikan bekalan makanan terus mencukupi.

Beliau berkata, sumbangan yang dihulurkan oleh golongan ini amat besar ertinya buat seluruh masyarakat.

Mengulas mengenai My Best Buy, Tuan Mohd Saripudin berkata, program itu merupakan usaha membantu para peniaga dan pengeluar memasarkan produk keluaran mereka selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah, seramai 50 peniaga dan pengeluar produk makanan telah menyertai program selama empat hari yang bermula pada Khamis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program ini mendapat kerjasama kukuh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan lebih 20,000 pengunjung yang terdiri daripada penduduk tempatan termasuk perantau membanjiri program tersebut.

Katanya, dengan cara ini ia secara langsung dapat memulihkan semula rantaian ekonomi negara.