Penduduk Bagan Datuk waspada air pasang besar

Salbiah menunjukkan para yang dibuat untuk menyimpan pakaian bagi mengelak ia rosak apabila air masuk ke dalam rumah akibat fenomena air pasang besar.
Salbiah menunjukkan para yang dibuat untuk menyimpan pakaian bagi mengelak ia rosak apabila air masuk ke dalam rumah akibat fenomena air pasang besar.
A
A
A

BAGAN DATUK - Fenomena air pasang besar yang bermula sejak awal pagi Khamis menyebabkan penduduk di beberapa kawasan di sekitar daerah ini mengambil langkah berwaspada.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Pasang Api dan Bagan Sungai Burung di sini, mendapati tidak berlaku limpahan air laut akibat fenomena tersebut.

Seorang penduduk, Salbiah Ghazali, 75, berkata, kali terakhir air naik akibat fenomena air pasang besar ke kawasan rumahnya pada bulan September lalu.

Menurutnya, ketika itu, banyak barang-barang rumah rosak kerana tidak sempat diselamatkan akibat air naik terlalu cepat apabila ban berhampiran pecah

"Kali ini kami dah sedia sebab takut berlaku semula. Kami buat para untuk letak perkakasan dapur dan di bilik juga ada satu untuk letak pakaian.

"Kawasan ini memang selalu air naik. Pada September lepas, air naik sampai paras pinggang menyebabkan barangan elektrik antaranya peti ais dan mesin basuh rosak teruk sebab tenggelam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasang Api, di sini pada Khamis.

Salbiah yang tinggal bersama dua anak berkata, kejadian air pasang berlaku sehari dua kali iaitu awal pagi dan lewat petang.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja membaiki ban yang pecah di Kampung Pasang Api sedang giat dijalankan bagi mengelak air melimpah ke kawasan rumah penduduk.
Kerja-kerja membaiki ban yang pecah di Kampung Pasang Api sedang giat dijalankan bagi mengelak air melimpah ke kawasan rumah penduduk.

Menurutnya, setiap kali fenomena air pasang besar, dia tidak dapat tidur lena kerana bimbang air naik pada awal pagi.

Jelasnya, menjelang fenomena air pasang besar pada bulan ini, persiapan rapi telah dibuat bagi mengurangkan kerugian akibat kerosakan barang-barang.

Sementara itu, bagi penduduk Bagan Sungai Burung yang dikenali sebagai Hing, 48, penduduk mengharapkan ban dapat dibina segera di kawasan berkenaan.

Menurutnya, setiap kali berlaku fenomena itu, air laut akan melimpah masuk ke kawasan kediaman mereka dan merosakkan barang-barang.

"Setiap kali berlaku air pasang besar, penduduk terpaksa menumpang kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong San untuk meletakkan kenderaan kerana kawasan ini tidak dinaiki air.

"Bagi yang duduk di pesisir pantai ini, kami bimbang kalau air pasang besar disertai dengan ribut keadaan akan lebih buruk," katanya.

Aminullah (kiri) menjaring ikan tilapia di parit Sungai Burung, di sini untuk dijual di pasaran tempatan.
Aminullah (kiri) menjaring ikan tilapia di parit Sungai Burung, di sini untuk dijual di pasaran tempatan.

Jelasnya, jika ban dapat dibina, risiko air naik ke kawasan penduduk agak kecil dan penduduk tidak perlu bersusah payah.

Dalam pada itu, fenomena air pasang besar turut menjadi sumber rezeki buat penduduk.

Bagi Aminullah Ahmad, 27, ketika air pasang besar ikan tilapia akan masuk ke kawasan parit berhampiran kunci air.

Jelasnya, pada kebiasaan, dia menjaring ikan di parit Bagan Sungai Burung di sini bersama adiknya.

"Kalau masa air besar macam ini, dalam masa dua jam boleh dapat lebih 10 kilogram ikan tilapia.

"Sekilogram ikan dijual RM8 dan bukan setiap hari menjaring, cuma waktu air pasang besar sahaja ikan banyak," katanya.

Jelasnya, ikan tersebut dijual untuk pasaran tempatan.

Hing antara penduduk Bagan Sungai Burung meletakkan kenderaan di dalam kawasan sekolah disebabkan fenomena air pasang besar.
Hing antara penduduk Bagan Sungai Burung meletakkan kenderaan di dalam kawasan sekolah disebabkan fenomena air pasang besar.