Yayasan Peneraju tumpu tambah kemahiran, latihan semula

Yayasan Peneraju kekal menumpukan usaha mengukuhkan pembinaan kapasiti profesional bumiputera berkualiti dan tenaga kerja berkemahiran tinggi berdasarkan kepada permintaan industri dan pasaran. (Gambar hiasan - Foto Bernama)
Yayasan Peneraju kekal menumpukan usaha mengukuhkan pembinaan kapasiti profesional bumiputera berkualiti dan tenaga kerja berkemahiran tinggi berdasarkan kepada permintaan industri dan pasaran. (Gambar hiasan - Foto Bernama)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan menumpukan kepada program menambah kemahiran dan latihan semula pada 2022 untuk mempersiapkan tenaga kerja agar kekal relevan pasca pandemik Covid-19.

Selain itu, ia juga akan meneruskan program sedia adanya serta memperluaskan lagi penawaran dengan memasukkan program yang mengikut permintaan pasaran dan industri, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muzzammil Ismail dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Yayasan Peneraju menyasar untuk memberi manfaat kepada lebih 10,000 tenaga kerja baharu bumiputera dan lebih 6,500 penerima sedia ada yang ketika ini sedang menjalani latihan dalam bidang berimpak tinggi dan khusus seperti kewangan, perakaunan, teknologi, pakar dan program berkemahiran tinggi.

“Pandemik Covid-19 di Malaysia memberi impak besar kepada keseluruhan ekosistem negara merangkumi ekonomi, perniagaan dan masyarakat. Krisis ekonomi negara telah menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan mereka yang memberi tekanan kepada rakyat,” katanya.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberikan penekanan di bawah Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Sejumlah RM6.6 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan pendidikan termasuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program daripada sijil kepada diploma serta melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera di bawah agensi seperti Yayasan Peneraju, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mohd Muzammil berkata, agensi itu akan kekal menumpukan kepada usaha mengukuhkan pembinaan kapasiti profesional bumiputera berkualiti dan tenaga kerja berkemahiran tinggi berdasarkan kepada permintaan industri dan pasaran.

“Saya yakin suntikan dana itu akan merangsang Yayasan Peneraju untuk mengembangkan lagi akses kepada kumpulan yang disasarkan serta memperkenalkan program baharu yang memenuhi keperluan pasaran ekonomi dan pekerjaan ketika ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yayasan Peneraju bekerjasama rapat dengan pemain industri, rakan program, penyedia latihan dan pemegang kepentingan lain bagi memastikan program yang ditawarkan berkualiti tinggi, relevan dan dapat meningkatkan kebolehpasaran penerimanya.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju telah berjaya mendaftarkan dan mengeluarkan sijil kepada lebih 40,000 individu menerusi lebih daripada 350 program pembiayaan merangkumi pelbagai segmen kumpulan Bumiputera di seluruh Malaysia termasuk kumpulan B40, M40, luar bandar yang golongan terpinggir. - Bernama