Mangsa banjir di Kedah meningkat 932 orang

Anggota APM memantau paras banjir di Taman Tanjung Bendahara yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter pada Khamis.
Anggota APM memantau paras banjir di Taman Tanjung Bendahara yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di empat daerah di negeri ini terus meningkat kepada 932 orang daripada 262 keluarga setakat jam 4 petang Khamis.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka juga meningkat daripada sembilan kepada 13 buah meliputi daerah Pendang, Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu.

Beliau berkata, daerah Kota Setar merekodkan jumlah tertinggi dengan 524 mangsa daripada 156 keluarga yang dipindahkan ke tujuh buah PPS.

“Setakat ini, tujuh PPS yang dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, SK Suka Menanti, SK Darul Hikmah, SK Haji Wahab, SK Convent, SK Titi Gajah dan SMK Convent,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Muaz berkata, banjir di Pendang sejak 21 Oktober lalu masih belum reda dan setakat petang Khamis, masih terdapat seramai 281 mangsa daripada 73 keluarga ditempatkan di situ.

“Dua buah PPS dibuka di Pendang iaitu Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah menempatkan 206 mangsa daripada 50 keluarga, manakala PPS Dewan Cenderawasih seramai 75 mangsa daripada 23 keluarga,” katanya.

Jelas beliau, di Kubang Pasu pula melibatkan seramai 80 mangsa daripada 19 keluarga, dengan dua PPS dibuka di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang selain di SK Malau.

“Di Pokok Sena, seramai 47 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau dengan 25 mangsa daripada lapan keluarga dan selebihnya di SK Tualang,” katanya.

Artikel Berkaitan: