Portugal bubar Parlimen selepas belanjawan 2022 ditolak

Parlimen Portugal
Parlimen Portugal
A
A
A

LISBON - Majlis Negara Portugal, yang dipengerusikan Presiden Marcelo Rebelo de Sousa pada Rabu memutuskan untuk membubarkan Parlimen selepas ahli Parlimen menolak Rang Undang-Undang Belanjawan 2022.

Dalam satu kenyataan, pejabat presiden memaklumkan, cadangan pembubaran Parlimen itu turut mendapat sokongan kebanyakan anggota badan perundingan tersebut.

Presiden De Sousa dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya awal sejurus selepas berunding dengan pemimpin parti politik utama, menurut Agensi Anadolu.

Rang Undang-Undang Belanjawan 2022 yang dikemukakan kerajaan itu gagal mendapat sokongan Parlimen minggu lepas.

Pilihan raya awal dijangka diadakan pada Januari, menurut media tempatan.

Parti Sosialis yang memerintah negara dengan memperoleh sokongan minoriti dan mendapat sokongan Parti Komunis dan Blok Kiri (BE), tidak menyokong belanjawan atas alasan janji meningkatkan gaji minimum dan pencen, membanteras kemiskinan dan mengurangkan cukai nilai tambah (VAT) ke atas bil elektrik tidak direalisasikan.

Perdana Menteri dari Parti Sosialis, Antonio Costa, yang membentuk kerajaan minoriti selepas pilihan raya pada Oktober 2019, telah berkhidmat selama enam tahun. Beliau dipilih semula pada 6 Oktober 2019.

Tinjauan pendapat menunjukkan Parti Sosialis yang memerintah menjadi pilihan utama untuk memenangi pilihan raya, tetapi tidak pasti sama ada ia akan mampu membentuk kerajaan majoriti. - Bernama

Artikel Berkaitan: