Ketua Pentagon tidak tolak kemungkinan kewujudan makhluk asing

WASHINGTON - Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth pada Selasa tidak menolak kemungkinan mengenai kewujudan makhluk asing sambil menyatakan bahawa maklumat khusus akan didedahkan selepas jabatannya menerbitkan data berkaitan objek terbang tidak dikenal pasti (UFO), lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kita akan lihat. Saya akan membuat semakan dan mengetahuinya,” kata Hegseth ketika ditanya sama ada makhluk asing wujud.
Pada masa sama, setiausaha itu berkata, beliau tidak pernah membayangkan bahawa penerbitan fail mengenai hidupan luar angkasa akan menjadi sebahagian daripada tugasnya sebagai ketua Pentagon.
Kakitangan jabatan itu sudah mula menjalankan tugas berkaitan isu berkenaan, namun masih belum dapat dipastikan tempoh yang diperlukan, tambah Hegseth.
Terdahulu pada Februari, bekas presiden Barack Obama mengakui dalam temu bual bersama hos audio siar AS Brian Cohen bahawa beliau percaya makhluk asing itu adalah nyata, tetapi tidak pernah melihatnya sendiri. Beliau kemudian menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pentadbirannya, beliau tidak melihat sebarang bukti mengenai hubungan dengan makhluk asing.
Mengulas perkara itu, Presiden Donald Trump berkata, pendahulunya telah mendedahkan maklumat sulit selain berjanji untuk menyiarkan maklumat Pentagon mengenai hidupan luar angkasa dan UFO. - Bernama
Ringkasan AI
- Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth tidak menolak kemungkinan kewujudan makhluk asing
- Maklumat khusus tentang makhluk asing akan didedahkan selepas penerbitan data UFO
- Hegseth tidak pernah bayangkan isu hidupan luar angkasa sebagai sebahagian dari tugasnya di Pentagon
- Kakitangan Pentagon sudah mula menjalankan tugas berkaitan isu makhluk asing
- Bekas presiden Barack Obama percaya makhluk asing itu nyata, sementara Donald Trump janji menyiarkan maklumat Pentagon tentang hidupan luar angkasa dan UFO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
