KPDNHEP siasat harga ayam di Kelantan, Terengganu

KPDNHEP siasat dakwaan berlakunya gangguan bekalan ayam hingga timbul kenaikan harga di Terengganu dan Kelantan. Gambar hiasan
KPDNHEP siasat dakwaan berlakunya gangguan bekalan ayam hingga timbul kenaikan harga di Terengganu dan Kelantan. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat dakwaan berlakunya gangguan bekalan ayam hingga timbul kenaikan harga di Terengganu dan Kelantan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini siasatan ke atas pembekal dan pemborong sedang dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan itu.

"Walaupun kekurangan bekalan dikatakan berlaku di beberapa lokasi dan bukan menyeluruh, kita tetap akan siasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti ada berlaku kenaikan harga,'' katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 di sebuah pasar raya di Masjid Tanah, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harga ayam sekarang adalah stabil walaupun sedikit berbeza mengikut kawasan namun harga siling bagi ayam standard yang telah ditetapkan ialah RM9.50 sekilogram.

Katanya, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali selama tujuh hari bermula Isnin lepas, berjalan lancar dan tiada aduan berkaitan 11 barangan bagi SHMMP Deepavali dijual melebihi harga maksimum dilaporkan.

Rosol berkata, barangan berkenaan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, cili merah, tomato, kelapa biji dan kelapa parut.

"Setakat ini kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan dari semua peringkat rantaian bermula peniaga, pemborong dan pembekal," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 3,843 premis perniagaan melibatkan pelbagai rantaian sejak 1 November hingga Rabu (3 November). - Bernama

Artikel Berkaitan: