Ahli Parlimen terima suntikan dos penggalak

Antara anggota Kabinet dan Ahli Dewan Rakyat yang menerima suntikan pagi ini adalah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Antara anggota Kabinet dan Ahli Dewan Rakyat yang menerima suntikan pagi ini adalah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pada Selasa mengambil peluang mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di Bangunan Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata pemberian dos penggalak di Bangunan Parlimen itu bagi memastikan tahap keselamatan semua Ahli Parlimen berada pada tahap optimum kerana mereka sering berjumpa rakyat dan pulang ke kawasan masing-masing khususnya ketika musim banjir.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana menyediakan dos penggalak kepada semua Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini selepas meninjau proses pemberian dos penggalak dan turut menerima suntikan itu.

KKM pada Selasa memberikan dos penggalak Pfizer bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 4 petang di Dewan Bankuet di Bangunan Parlimen.

Berdasarkan tinjauan Bernama, rata-rata Ahli Parlimen mula menunggu giliran masing-masing seawal jam 9.20 pagi.

Turut kelihatan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Okt lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum, khususnya terhadap jangkitan varian Delta. - Bernama

Artikel Berkaitan: