Cuti oh cuti...

No Image Caption
A
A
A

PADA Rabu lalu, ketika dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, seorang ahli Parlimen telah mencadangkan kepada Kementerian Sumber Manusia agar menambah cuti umum Deepavali daripada sehari kepada dua hari.

Tidak dipastikan apakah cadangan beliau itu diterima kerajaan atau tidak. Namun yang pasti, sekiranya diterima, ia tentu berita yang menggembirakan terutama kepada penganut beragama Hindu.

Tidak dinafikan, Malaysia adalah antara negara di dunia yang mempunyai paling banyak cuti umum.

Mengikut satu kajian yang dijalankan oleh Mashable Asia Tenggara, Malaysia adalah antara 10 negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai jumlah cuti umum terbanyak pada 2019 iaitu sebanyak 50 hari.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya 20 hari diisytiharkan cuti umum di peringkat nasional, manakala selebihnya adalah di peringkat negeri.

Kita rakyat Malaysia sesungguhnya amat bertuah mempunyai cuti umum yang begitu banyak, belum termasuk lagi cuti peristiwa dan cuti khas.

Tidak sukar untuk mendapatkan jawapan kenapa kita mempunyai banyak cuti umum. Malaysia memang negara unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Setiap kali tibanya perayaan, maka dapatlah cuti.

Menariknya, bila ada cuti, semua orang pun jadi sibuk. Yang sibuk beraya pun ada, yang tak beraya pun ikut sibuk susun cuti panjang, apatah lagi bila cuti umum jatuh dekat dengan hujung minggu.

Artikel Berkaitan:

Penganut Hindu di seluruh negara akan menyambut Deepavali pada Khamis ini. Walaupun hanya cuti sehari, semua orang sudah ada rancangan masing-masing. Maklumlah, kita sudah lama ‘terkurung’ di dalam rumah. Inilah masanya berjalan jauh.

Tapi beringatlah, kita masih perlu waspada dengan pandemik Covid-19. Elaklah berada di kawasan tumpuan ramai. Jangan pula kerana seronok makan angin, virus Covid-19 ikut kita balik ke rumah!