X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

Kit ujian kendiri Covid-19 serendah RM6.90

Kit ujian kendiri Covid-19 boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak tertentu.Gambar hiasan
A
A

SEPANG - Kit ujian kendiri Covid-19 boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak tertentu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia susulan langkah peruasan penjualan kit ujian kendiri itu secara berperingkat termasuk di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak.

"Ini tentunya satu berita yang sangat baik kepada pengguna pada situasi hari ini," katanya ketika melancarkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di KK Supermart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dimaklumkan harga yang ditawarkan adalah serendah RM6.90 namun ada yang menjualnya pada harga lebih rendah seperti rangkaian kedai serbaneka KK Supermarket yang menawarkannya pada RM6.60 seunit.

Sebelum ini, kit ujian kendiri Covid-19 yang menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dijual di klinik dan premis farmasi yang terpilih.

Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit berkenaan pada harga RM19.90 dan harga borong RM16 seunit, berkuat kuasa 5 September lepas.

Nanta berkata, keputusan kerajaan untuk memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 akan mendatangkan kebaikan seperti penurunan harga, ketersediaan bekalan dan meningkatkan daya saing serta ekonomi sektor peruncitan.

Hingga 28 Oktober lepas, katanya sejumlah 2,570 premis perniagaan di seluruh negara telah diberi kelulusan untuk menjual kit itu dengan 494 daripadanya adalah di bawah pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd termasuk di KLIA2.

Mengenai harga siling kit ujian kendiri Covid-19 yang baharu, Nanta berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat dan penentuannya mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan pengguna dan peniaga.

Menurut Nanta paras sedia ada iaitu RM19.90 harga runcit dan RM16 harga borong akan diturunkan ke satu tahap yang adil kepada pengguna dan peniaga.

"Kita boleh tengok di mana paras kita boleh letak dan memastikan pengguna boleh membeli dengan mengikut kehendak mereka termasuk dari segi jenama dan kualiti. Kita mesti juga memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan," katanya.

"Harga siling baharu juga harus mengambil kira peniaga yang perlu mengimport kit berkenaan dari negara berlainan," katanya.

Nanta berkata, beliau percaya persaingan akan menurunkan harga jualan di peringkat runcit.

"Suasana perniagaan perlu berpaksi kepada (konsep) penawaran dan permintaan. Tidak perlu kerajaan guna kuasa menyekat dan membuat peraturan," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!