Opsyen baharu untuk rawat masalah pembesaran prostat

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyakit hiperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat bukan kanser dilaporkan dalam trend meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini, demikian menurut American Journal of Men’s Health, jurnal akses terbuka yang menumpukan pada maklumat mengenai kesihatan dan penyakit lelaki.

Pada 2019, dianggarkan 11.26 juta kes BHP di seluruh dunia, dan menurut data, masalah itu dialami oleh 50 peratus lelaki berusia antara 51 dan 60 tahun, serta 90 peratus bagi kelompok usia 80 tahun ke atas.

Pakar berpendapat peningkatan kes bergerak seiring dengan pertambahan populasi dunia dan juga penuaan masyarakat.

Corak sama dikesan di Malaysia. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, kira-kira 16 peratus lelaki Malaysia berusia 40 tahun ke atas mengalami gejala BPH. Tinjauan juga mendapati lelaki berusia 75 tahun ke atas paling berkemungkinan mengalami gejala BPH (33 peratus) berbanding kumpulan usia sekitar 40 tahun (10 peratus).

BPH merupakan penyakit lazim dalam kalangan lelaki yang berusia, membabitkan pembesaran kelenjar prostat - satu organ dalam sistem reproduktif lelaki.

Prostat lazimnya bersaiz sebesar kacang berangan, namun bagi mereka yang menghidap BPH, organ itu boleh membengkak sebesar buah oren. Penyakit ini biasanya hadir dengan gejala saluran kencing bawah yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara.

Pakar berkata, walaupun BPH adalah sebahagian daripada proses penuaan yang mungkin tidak dapat dielakkan, ini tidak bermakna penyakit itu harus diabaikan. Jika tidak dirawat, penyakit tersebut boleh menimbulkan pelbagai komplikasi seperti kencing tidak lawas, jangkitan saluran kencing, kerosakan pundi kencing, dan kencing berdarah atau batu karang - membawa kepada penyakit buah pinggang yang teruk.

Umur paling terjejas

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua Jabatan Urologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Khairul Asri Mohd Ghani, usia merupakan indikator utama dalam mengesan perkembangan BPH.

Sekalipun BPH merupakan masalah biasa dalam kalangan lelaki berusia 50 tahun ke atas, beliau berkata gejala BPH turut dialami oleh sebilangan lelaki yang lebih muda di Malaysia.

Beliau menjelaskan faktor-faktor risiko seperti sejarah keluarga, sindrom metabolisme dan obesiti boleh meningkatkan risiko mengalami BPH. Sesetengah kajian menunjukkan obesiti pada bahagian tengah tubuh (pengumpulan lemak berlebihan pada bahagian abdomen) ada kaitan dengan perubahan hormon seksual yang boleh membawa kepada permulaan gejala BPH.

Pemerhatian menunjukkan prevalens BPH dalam kalangan populasi lelaki meningkat sedari usia 40 tahun, sekali gus menekankan kepentingan intervensi awal.

“Dalam lain perkataan, jarang lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun mengalami gejala urinari berkaitan BPH yang teruk atau pembesaran prostat, melainkan kerana jangkitan (prostatitis) atau lain-lain punca yang berkaitan,” jelasnya.

Gangguan gaya hidup

Dr Khairul Asri yang juga perunding pakar bedah urologi Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam berkata, prostat yang membengkak akan menekan uretra (saluran kencing), menyebabkan penghidap BPH berdepan masalah kencing tidak lawas, sekali gus mencetuskan rasa ingin kencing yang kerap.

“... apabila seseorang itu mengalami kencing tidak puas, dia akan kerap berasa hendak kencing. Umumnya hal ini akan menjejaskan kualiti hidup penghidap, yang antaranya terpaksa berhenti banyak kali di tandas awam sekiranya memandu jarak jauh, kerap bangun untuk kencing pada waktu malam, kerap ke tandas semasa makan di luar atau menonton wayang, selain tidak dapat memberi tumpuan semasa mesyuarat,” katanya.

Pada masa sama, Dr Khairul Asri menolak tanggapan ramai bahawa BPH sama dengan kanser prostat dan menambah BPH juga tidak semestinya meningkatkan risiko kanser prostat.

"BPH hanyalah pertumbuhan lampau tisu prostat dan tidak bermetastasis (merebak ke bahagian lain pada tubuh),” katanya, menambah dalam kebanyakan kes, gejala BPH boleh diredakan melalui rawatan.

Rawatan

Penghidap BPH tidak perlu hidup dengan penyakit itu kerana ada opsyen rawatan bagi menangani gejala penyakit.

Dr Khairul Asri berkata, kini terdapat prosedur invasif minimum baharu, dikenali sebagai terapi wap air yang menggunakan wap air untuk mengecutkan saiz prostat. Beliau berkata terapi itu yang dilancarkan di Malaysia pada Julai 2021 adalah mudah dan biasanya tidak mengambil masa yang lama untuk selesai.

Katanya, beliau dan pasukannya merupakan yang pertama menjalankan terapi itu di Malaysia dan pesakit yang terlibat telah pulih serta kembali menjalani kehidupan normal tanpa sebarang masalah.

“Terapi ini menggunakan tenaga perolakan untuk membuang tisu prostat obstruktif. Tenaga haba yang seragam dan bersasar ditujukan kepada tisu prostat berkenaan, membunuh sel di kawasan kelenjar prostat yang terjejas dengan cepat.

"Hasilnya, prostat akan mengecut semasa proses penyembuhan secara semula jadi tubuh, mengecilkan saiz dan meredakan simptom BPH dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Keseluruhan prosedur mengambil masa purata 10 minit dan boleh dilakukan sama ada dengan atau tanpa anestesia umum,” jelasnya.

Beliau berkata, kajian yang diterbitkan baru-baru ini turut menyokong terapi wap air, menyatakan rawatan itu selamat dan berkesan serta turut memelihara fungsi seksual hingga lima tahun, meredakan gejala saluran kencing bawah, selain kadar rawatan semula yang rendah, dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Perunding pakar urologi Pantai Hospital Sungai Petani di Kedah, Datuk Dr Zainal Azim Abd Kadir juga mengakui keberkesanan terapi wap air dan berkata, pesakitnya yang menjalani rawatan tersebut menunjukkan keputusan memuaskan.

Opsyen lain

Sementara itu, Dr Khairul Asri berkata, terdapat pelbagai opsyen untuk merawat BPH seperti Transurethral Resection of the Prostate (TURP) dan prostatektomi.

“Rawatan berkenaan membabitkan pembedahan membuang kelenjar prostat yang dilakukan oleh pakar bedah dan ditawarkan khususnya kepada lelaki yang mempunyai kelenjar prostat terlalu besar, sebagai penyembuhan jangka panjang,” katanya, menambah pengewapan fotoselektif merupakan satu lagi pilihan untuk merawat BPH, membabitkan pembuangan tisu prostat yang terjejas menggunakan pengewapan bagi melegakan tekanan terhadap uretra, sekali gus melancarkan aliran keluar air kencing.

Beliau menambah kebanyakan prosedur dan terapi bertujuan meredakan gejala urinari yang disebabkan oleh pembesaran prostat atau BPH.

Sementara itu, Dr Zainal Azim menasihati lelaki yang mempunyai masalah kencing, kencing berdarah, kerap berasa ingin kencing dan gejala jangkitan saluran kencing berulang, agar berjumpa doktor dan tidak menderita secara senyap-senyap.

“Cara terbaik (untuk menangani BPH) ialah intervensi awal, dan seperti yang disyorkan oleh pakar urologi, lakukan pemeriksaan secara berkala, sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya. - Bernama