Thailand mula terima pelancong asing

Pulau Phi Phi antara destinasi pelancongan popular di negara itu.
Pulau Phi Phi antara destinasi pelancongan popular di negara itu.
A
A
A

BANGKOK - Thailand cuba menghidupkan semula pelancongan antarabangsa di negara itu dengan menerima ketibaan pengembara yang sudah mendapatkan dos lengkap tanpa perlu menjalani kuarantin wajib bermula Isnin.

Setelah hampir dua tahun, negara tersebut ‘sunyi dan lengang’ tanpa pelancong asing akibat penutupan sempadan sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Sejak beberapa hari lalu, persiapan akhir giat dilakukan yang turut dilihat sebagai peluang keemasan kepada pengusaha tempatan dan langkah pemulihan ekonomi.

Timbalan Gabenor Bangkok, Sophon Phisutthiwong memaklumkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) bersiap-sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong asing malah pelan terperinci telah dikemukakan bagi memastikan pembukaan semula bandar tersebut berjalan lancar dan selamat.

“Kadar vaksinasi penduduk setempat memainkan peranan penting untuk usaha ini. Kira-kira 75 peratus individu atau 5.8 juta daripada tujuh juta populasi di Bangkok sudah menerima dos lengkap.

“Jika dilihat dari segi itu, ia bermakna Bangkok sudah bersedia untuk kembali dibuka,” ujarnya menerusi wawancara bersama CNA.

Difahamkan, BMA turut merumuskan prosedur operasi untuk memastikan pelancong berasa selamat dan menikmati penginapan yang selesa di tengah-tengah normal baharu.

Ia juga meliputi aktiviti sepanjang percutian, pengangkutan dan laluan tertutup antara lapangan terbang dan hotel serta ke beberapa lokasi.

Artikel Berkaitan:

“Kami mahu pelancong mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Lebih banyak pendapatan dapat dijana apabila sektor pelancongan ini dibuka semula.

“Kami mahu ekonomi kembali pulih terutamanya untuk sektor perkhidmatan. Kebanyakan penduduk tempatan terjejas kerana perniagaan terpaksa ditutup untuk tempoh yang lama,” kata Sophon.

Thailand sentiasa menjadi destinasi pelancongan yang besar di Asia Pasifik.
Thailand sentiasa menjadi destinasi pelancongan yang besar di Asia Pasifik.

Menurutnya, BMA juga menggariskan ‘exit plan’ yang akan dilaksanakan apabila penularan Covid-19 mencapai tahap kritikal yang akan dinilai berdasarkan kes jangkitan harian, jumlah kematian dan kadar penggunaan katil hospital.

“Sebagai contoh, pembatalan program ini mungkin akan dibuat jika purata jumlah kes jangkitan harian melebihi 2,300 kes. Kami sudah membuat perancangan dengan teliti,” jelasnya lagi.

Selain membuka pintu kepada 46 negara dan wilayah berisiko rendah, Thailand juga akan menerima pengembara di bawah skim pelancongan Sandbox yang pertama kali dilaksanakan di Phuket pada Julai lalu.

Program itu akan diperluaskan kepada beberapa destinasi pelancongan terkenal lain seperti Bangkok, Chiang Mai dan Pattaya yang membenarkan pengembara sudah menerima dos lengkap berkunjung ke ‘zon biru’ tanpa perlu menjalani kuarantin.

Platform pelancongan, Tripadvisor mendapati Thailand menjadi destinasi popular pelancong dari United Kingdom (UK), Jerman, AS, Perancis dan Australia.

“Terdapat peningkatan dalam carian dan tempahan ke beberapa lokasi di negara itu. Kami menjangkakan trend ini akan berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang selepas keyakinan orang ramai semakin meningkat untuk kembali melancong,” kata Ketua Perkongsian Media Asia Pasifik di Tripadvisor, Sarah Mathews.

Data laman itu juga menunjukkan destinasi paling popular yang menjadi pilihan ramai termasuk Bangkok, Phuket, Chiang Mai dan bandar tepi laut Pattaya di Chon Buri.

“Thailand sentiasa menjadi destinasi pelancongan yang besar di Asia Pasifik dan terdapat permintaan yang tinggi untuk pelancong kembali menerokai negara tersebut,” ujarnya. - Agensi