Rakyat Thailand mula mengundi awal pada Ahad

Lebih 2 juta daripada 52 juta rakyat Thailand telah mendaftar untuk mengundi awal.
Lebih 2 juta daripada 52 juta rakyat Thailand telah mendaftar untuk mengundi awal.
A
A
A

BANGKOK - Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat Thailand beratur panjang di pusat-pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kerajaan yang bakal menerajui pentadbiran negara menjelang pilihan raya umum pada minggu depan.

Hari ini, lebih 2 juta daripada 52 juta rakyat Thailand telah mendaftar untuk mengundi awal.

Pusat mengundi dibuka seawal jam 8 pagi dan ditutup pada jam 5 petang (waktu tempatan) hari ini.

Pilihan raya umum kali ini akan memilih 500 ahli Dewan Rakyat.

Di Bangkok, lebih 800,000 pengundi dijangka mengundi pada Ahad.

Pengundi beratur di pusat-pusat mengundi di luar pejabat daerah, pusat membeli-belah, sekolah dan kuil.

Jumlah pengundi awal terbesar ialah di Universiti Ramkhamhaeng dengan 52,000 pengundi diikuti Dewan Paragon Diraja di Pusat Beli-belah Siam Paragon (40,000) dan Pejabat Daerah Huai Kwang (28,000).

Koneetah Yama, yang berasal dari Yala berkata, dia teruja melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi buat kali pertama.

Pelajar Universiti Srinakharinwirot itu berharap pilihan raya kali ini akan membentuk kerajaan baharu yang membuka jalan ke arah masa depan lebih baik.

"Saya berharap pilihan raya kali ini akan membawa kepada masa depan yang lebih baik terutamanya dalam bidang pendidikan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Angkana, 32, yang turut mengundi awal, berharap pilihan raya ini akan membawa kepada penubuhan kerajaan baharu yang akan membawa perubahan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya berharap (pilihan raya kali ini) akan terbentuknya kerajaan baharu.

"Sudah tiba masanya untuk perubahan, dengan pembentukan kerajaan baharu yang memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Parti pembangkang Pheu Thai mendahului dalam kebanyakan tinjauan pendapat diikuti oleh Parti Move Forward yang progresif.

Paetongtarn Shinawatra, anak bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin, menduduki tempat pertama atau kedua bagi calon perdana menteri dalam kebanyakan tinjauan pendapat.

Selain itu, Pita Limjaroenrat, ketua parti Move Forward juga merupakan seorang lagi pesaing bagi merebut jawatan Perdana Menteri Thailand.

Prayuth Chan o-cha, bekas ketua tentera yang kekal sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum 2019, adalah calon perdana menteri untuk Parti Negara Thai Bersatu (UTN).

Beliau kini berada di tempat ketiga dalam tinjauan pendapat oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (Nida) dan keempat dalam tinjauan oleh kumpulan media Nation yang dikeluarkan pada Jumaat. - Bernama