Pemandu e-hailing mengaku salah bantu ah long, ugut peminjam

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Akta Pemberi Wang 1951 dihadapkan di Mahkamah Majistret Pontian pada Ahad.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Akta Pemberi Wang 1951 dihadapkan di Mahkamah Majistret Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas pertuduhan mengugut seorang peminjam serta membantu kegiatan syarikat pinjaman wang tidak berlesen pada September dan 25 Oktober lalu.

Tertuduh Mohd Fakhrul Faiz Mohd Nor, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Fakhrul Faiz bersama seorang lagi rakannya, Ridzwan Idham Abdullah, 26, yang turut mengaku bersalah didakwa menyimpan cat merah dan nota ugutan terhadap seorang peminjam sebuah syarikat pinjaman wang tidak berlesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bayu Puteri, Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Sementara itu, Mohd Fakhrul Faiz turut mengaku bersalah membantu pemberi pinjaman wang tidak berlesen pada September lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan aktiviti membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan membuat kutipan dan memberi akaun bank miliknya bagi urusan pembayaran pinjaman wang tidak berlesen seorang peminjam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Gunung Pulai, Kulai pada 22 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum mengikut akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Patricia Shyedlyn Anak Jari, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Shuhadah Mahzan.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan, namun peguam memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan kedua-dua tertuduh berpendapatan yang rendah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 dengan dua orang penjamin ke atas Mohd Fakhrul Faiz manakala rakannya sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula di Mahkamah Majistret Kulai pada 25 November depan.