Kedudukan wanita belum capai 30 peratus

Wanita Ikram menganjurkan Program Flashmob Nasional sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di pekarangan bangunan Pertubuhan Ikram Malaysia di Seri Kembangan, hari ini.
Wanita Ikram menganjurkan Program Flashmob Nasional sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di pekarangan bangunan Pertubuhan Ikram Malaysia di Seri Kembangan, hari ini.
A
A
A

SERDANG - Pertubuhan Wanita Ikram Malaysia (Wanita Ikram) menyifatkan, Malaysia belum mencapai sasaran 30 peratus keterlibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai peringkat.

Timbalan Ketua Wanita Ikram, Prof Madya Dr Sabariah Baharun berkata, Islam sudah lama mengangkat dan memuliakan wanita namun, kedudukan golongan tersebut dalam kehidupan seharian masih berada pada tahap yang rendah.

"Kami (Wanita Ikram) melihat status wanita diletakkan pada kedudukan yang tidak setimpal khususnya dalam bidang sosial, ekonomi mahupun politik.

"Seharusnya isu kesaksamaan gender tidak perlu timbul pada zaman moden ini memandangkan wanita juga mempunyai peranan tersendiri dan berupaya menyumbang pada negara, agama, keluarga dan masyarakat," katanya ketika ditemui selepas Program Flashmob Nasional di sini, hari ini.

No Image Caption

Acara yang disertai 30 peserta tersebut dianjurkan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 yang mengangkat tema 'Fikir Kesamarataan, Bina Dengan Kebijaksanaan, Berinovasi Untuk Perubahan'.

Menurut Sabariah, tema sambutan cetusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberi fokus kepada usaha inovatif meningkatkan kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita terutamanya daripada aspek perlindungan sosial, perkhidmatan awam dan peningkatan infrastruktur.

"Tema ini selari dengan usaha Wanita Ikram untuk melakar garis keseimbangan dalam melonjakkan keupayaan wanita, kesaksamaan gender dan inovasi ke arah perubahan.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun, ia bukan tugas yang mudah tetapi, kami yakin usaha secara bersepadu mampu melahirkan penyelesaian baharu dalam pelbagai sudut kehidupan wanita," ujarnya.

No Image Caption

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu, penglibatan wanita Malaysia pada peringkat kepimpinan dan pembuat dasar masih rendah meskipun ia memperlihatkan peningkatan berbanding sebelum ini.

Direkodkan, pada 2018 seramai 1,010 (15.7 peratus) daripada jumlah 6,245 kerusi anggota lembaga pengarah di semua syarikat tersenarai awam diisi golongan wanita.

Sementara, dalam 100 syarikat awam tersenarai teratas menyaksikan penyertaan wanita sebagai anggota lembaga pengarah meningkat kepada 24.4 peratus (2018) berbanding 19.27 peratus pada 2017.

Sehubungan itu, Wan Azizah merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yakin statistik itu akan meningkat sekiranya syarikat awam tersenarai komited memainkan peranan penting untuk mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan.