Saranan capai 30 peratus ahli Parlimen wanita tidak mustahil

Nancy ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Nancy ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saranan untuk mencapai bilangan Ahli Parlimen wanita sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan dilihat masih jauh tetapi tidak mustahil dapat dicapai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia memerlukan keazaman politik daripada kedua-dua belah parti sama ada pembangkang ataupun kerajaan dalam merealisasikan hasrat tersebut.

“Walaupun tanpa ada penggubalan atau pindaan undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak memberi peluang atau ruang untuk menyaksikan wanita mewakili sekurang-kurangnya tiga puluh peratus daripada jumlah ahli di dewan rakyat.

“Secara peribadi saya berpandangan ia masih jauh untuk dicapai, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya semua pihak benar-benar ikhlas dan bersungguh untuk mengambil inisiatif dalam merealisasikannya.

“Saya nyatakan demikian kerana ia amat bergantung kepada keazaman politik untuk mencapai hasrat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parti Sulong) yang meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan usaha dalam menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam Parlimen agar boleh mencapai 30 peratus.

Setakat ini, bilangan Ahli Parlimen wanita masih belum mencapai 20 peratus daripada jumlah keseluruhan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, ujar Nancy, kerajaan turut menggaris dan melaksanakan pelbagai strategi

untuk menyokong usaha mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan.

Menurutnya, ia merangkumi penambahbaikan perundangan dan dasar untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk wanita, menyediakan persekitaran yang menyokong penglibatan wanita serta menyediakan peluang serta akses kepada latihan, meningkatkan kesedaran serta kolaborasi bersama pelbagai pemegang taruh.

“KPWKM turut bekerjasama dengan pihak universiti, badan bukan kerajaan dan pihak swasta dalam melaksanakan pelbagai bentuk latihan untuk memperkasakan wanita dengan kemahiran dan berdaya tahan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan formal.

“Usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Malaysia dalam mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30% penglibatan wanita ini juga diiktiraf dunia, apabila delegasi Malaysia yang diwakili KPWKM telah dianugerahkan Ministerial Award menerusi pembentangan bertajuk “Women Empowerment: At Least 30% of Women in Decision Making Position” semasa 2023 Global Summit of Women yang telah di adakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada awal bulan ini,” ujarnya.