Mangsa pencemaran bahan kimia meningkat

Nie Ching (tengah) bersama Surya ketika sidang media di HSI.
Nie Ching (tengah) bersama Surya ketika sidang media di HSI.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, meningkat kepada 39 orang sejak malam tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu seramai 21 daripadanya adalah pelajar sekolah rendah dan menengah yang berada berhampiran sungai terbabit.

“Berhubung kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim semalam (kelmarin), kami difahamkan terdapat 21 pelajar iaitu sembilan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan 12 orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih.

“Daripada semua pelajar ini, dua pelajar sekolah menengah masih menerima rawatan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di HSI.

Nie Ching berkata, bagaimanapun keadaan kesemua pesakit melibatkan pelajar dan orang awam yang menerima rawatan kini stabil dan menunjukkan perkembangan positif.

Berhubung jumlah orang awam yang menerima rawatan, Nie Ching memberitahu, kesemua 18 daripadanya berusia dalam lingkungan lima hingga 44 tahun.

"Kami difahamkan pesakit ini adalah termasuk seorang pengusaha kantin sekolah dan seorang guru yang tampil mendapatkan rawatan sejak malam tadi (kelmarin).

"Pengusaha kantin ini masih ditempatkan di ICU bersama seorang lagi mangsa iaitu pemandu ambulans HSI kerana mengalami simptom sesak nafas akibat kejadian ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan II, Dr Surya Marsom berkata, sebahagian mangsa berkemungkinan dibenarkan pulang memandangkan keadaan kesihatan mereka mulai stabil.

"Rawatan akan bergantung pada bahan apa (kimia) yang dilepaskan, pakar mengatakan sekurang-kurangnya lapan jam tanpa simptom yang lebih berat pesakit akan dikeluarkan dari wad la.

"Sekiranya ada perubahan, kita kena lanjutkan lagi tempoh rawatan mereka," katanya.