RM98 bilion pinjaman baharu kerajaan diguna untuk bayar hutang

Kah Woh (depan, dua dari kiri) dan Nik Azman (depan, dua dari kanan) pada sidang akhbar PAC di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kah Woh (depan, dua dari kiri) dan Nik Azman (depan, dua dari kanan) pada sidang akhbar PAC di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM98 bilion atau 50.4 peratus daripada keseluruhan RM194.5 bilion pinjaman baharu kerajaan digunakan hanya untuk tujuan membayar balik prinsipal hutang bagi 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM15.3 bilion berbanding RM82.7 bilion pada tahun 2019.

"Jumlah ini diramal akan bertambah dalam tahun-tahun yang akan datang.

"Ia merupakan suatu keadaan yang membimbangkan apabila kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang," katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

PAC sebelum ini mendengar taklimat daripada tentang Laporan Audit Negara (LKAN) berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2020 serta Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020.

Kah Woh berkata, PAC dimaklumkan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran dengan Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) telah dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara berhubung perkara itu.

Selain itu, beliau berkata, PAC juga dimaklumkan bahawa pinjaman kasar untuk tujuan Kumpulan Wang Pembangunan tahun 2020 berjumlah RM48.5 bilion tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Hanya sejumlah 77.53 peratus atau RM37.6 bilion digunakan untuk tujuan pembangunan dan yang bakinya digunakan untuk tujuan pelunasan liabiliti dan komitmen jaminan serta untuk tujuan perbelanjaan mengurus.

"Keadaan ini adalah tidak sihat dan tidak dapat mengoptimumkan tujuan peruntukan pembangunan," katanya.

Kah Woh berkata, dalam pengauditan pematuhan terhadap kementerian dan jabatan persekutuan pula, jumlah semakan audit dilakukan bagi lapan tajuk pengauditan bernilai RM899.4 juta.

Menurutnya, sejumlah RM620 juta daripadanya dikesan membabitkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran yang maklumat terperinci seperti yang dilaporkan dalam LKAN.

Daripada jumlah itu juga, katanya, sejumlah RM499.1 juta adalah isu pembayaran tidak teratur membabitkan Majlis Keselamatan Negara dalam Projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan.

"PAC akan mengadakan prosiding berkenaan dengan isu ini," katanya.

Sementara itu, Nik Azman berkata, keadaan separuh daripada hutang baharu digunakan untuk membayar hutang lama yang telah matang itu merupakan satu keadaan yang membimbangkan bagi Jabatan Audit Negara.

Katanya, ia kerana sepatutnya hutang dibayar melalui hasil atau lebihan hasil yang ada.

"Tetapi pada 2020 negara hadapi Covid-19 dan kerajaan terpaksa memperkenalkan langkah-langkah perbelanjaan untuk membantu masyarakat yang terkesan dan langkah untuk menangani Covid-19," katanya.