[VIDEO] 'Abdul Rashid boleh kata apa sahaja, kita ada Perlembagaan' - Muhyiddin

A
A
A

HULU SELANGOR - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rasid Asari yang berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu bebas untuk menyatakan pandangannya, namun tindakan akan tetap diambil berdasarkan undang-undang parti.

"Itu dia kata (tak langgar Perlembagaan), dia boleh kata apa sahaja (tetapi) kita ada pakar dan Perlembagaan kita.

"Nyata perbuatannya duduk sepentas berucap untuk menentang kita (bermaksud) sokong kita lagi. Logik ke.

"Tidak mengapa, kita ada peraturan dan dah diumum Datuk Seri Hamzah (Zainudin), apabila dia (Abdul Rashid) buat begitu, kalau ikut Perlembagaan, terhenti serta-merta keahlian," katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama kaum India di Batang Kali, pada Khamis.

Muhyiddin ketika berucap pada program ramah mesra bersama kaum India di Batang Kali.
Muhyiddin ketika berucap pada program ramah mesra bersama kaum India di Batang Kali.

Sebelum ini Abdul Rashid dilapor turun padang menyokong calon PH, Pang Sock Tao dengan berucap di pentas Ceramah Isu Semasa di sekitar Batang Kali, pada Rabu.

Sementara itu ditanya mengenai kesediaan PN menerima MCA dalam gabungan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menjelaskan, perkara itu akan diteliti sekiranya ada permintaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengikuti kenyataan Datuk Seri Wee Ka Siong (Presiden MCA), dia kena meneliti situasi yang telah berlaku kepada BN (Barisan Nasional). Pastinya apa yang telah berlaku tidak memberi apa-apa keuntungan kepada MCA, begitu juga MIC sebagai rakan.

“Mereka sudah diketepikan, dah dinafikan peluang untuk bertanding, macam-macam perkara dibuat oleh UMNO menyebabkan MCA dan MIC secara umumnya disisihkan.

“Saya fikir wajar, saya bersetuju (MCA pertimbang keluar BN) untuk menunjukkan mereka ada maruah, kenapa mesti berpandu kepada BN,” ujarnya.

Terdahulu Ka Siong berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta supaya tidak membuat keputusan bersendirian mengenai rakan kerjasama gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dilapor mengingatkan sekiranya UMNO berdegil untuk tetap bersama DAP pada PRU16 nanti, MCA tidak teragak-agak bergerak solo.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!