Jawatankuasa Antirasuah pertama kali ditubuhkan di Dewan Negara

Rais pada sidang akhbar di pejabatnya di Parlimen pada Khamis.
Rais pada sidang akhbar di pejabatnya di Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara akan menubuhkan tiga jawatankuasa penentu khas sebagai usaha transformasi Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia adalah Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Komunikasi dan Pendidikan dan Jawatankuasa Urus Tadbir, Integriti dan Antirasuah.

“Jawatankuasa Urus Tadbir, Integriti dan Antirasuah itu pertama kali kita buat untuk mengimbangi perkara-perkara antirasuah yang sekarang tidak diselaraskan dari segi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rais berkata, ramai pihak membangkitkan agar hal ehwal berhubung rasuah di bawah Parlimen.

“Tak boleh diletak di bawah Parlimen sahaja kecuali kita ada jawatankuasa,” tegasnya.

Rais berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan Jawatankuasa Urus Tadbir, Integriti dan Antirasuah ini sesuai dengan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Rasuah di bawah Akta Antirasuah yang ada pada hari ini.

“Saya akan memaklumkan hal-hal ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 November.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengharapkan bahawa sebagaimana yang dinyatakan dalam suasana Keluarga Malaysia, kita dapat menerima perubahan ini secara hati terbuka demi Malaysia dan generasi Malaysia yang sekarang ini bilangannya melebihi 43 peratus daripada pengundi di sesuatu tempat termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Keinginan perubahan ini sudahpun mendadak, kita harus menerima ini sebagai kepentingan tanah air kita,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga jawatankuasa ini akan diteliti sama ada rakyat boleh mengadu padanya atau jawatankuasa ini sendiri mewujudkan penelitian penyiasatan terhadap mana-mana jabatan kerajaan yang bersangkutan dengan kepentingan rakyat.

“Berhubung dengan Jawatankuasa Komunikasi dan Pendidikan dan lain-lain, ini bergantung kepada isu yang timbul. Seseorang itu termasuk setiausaha kementerian, menteri atau timbalan menteri atau ketua pengarah boleh dipanggil untuk bertanggungjawab.

“Tentang rasuah, kami akan melihat dekat aduan-aduan yang timbul daripada khalayak termasuk kes-kes yang rakyat terasa ada sesuatu yang seharusnya diambil tindakan segera dari segi penyelarasan.

“Kita tidak ada kuasa untuk campur tangan dalam hal ehwal penyiasatan. Tapi, kita ada kuasa untuk menentukan kepentingan negara dan kepentingan rakyat dipatuhi,” jelasnya.

Beliau dalam masa yang sama menyatakan bahawa Jawatankuasa Urus Tadbir, Integriti dan Antirasuah di Dewan negara ini akan bercantum dengan jawatankuasa yang sama di Dewan Rakyat.

"Kami akan mengadakan penyelarasan yang rapi. Misalnya, kes duit hilang RM6 juta.

“Banyak hal yang tidak dapat kita teliti dari dekat untuk menasihatkan Perdana Menteri ataupun kerajaan apa harus kita buat demi kepentingan, keadilan dan sebagainya,” ujarnya.