X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Kes sembuh Covid-19 atasi kes baharu

Sebanyak 6,377 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 6,637 kes sembuh daripada Covid-19 dilapor di Malaysia pada Khamis, mengatasi angka harian kes baharu yang merekodkan sebanyak 6,377 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 kini ialah 2,354,622 manakala kumulatif kes baharu ialah 2,454,749 kes.

Beliau berkata, lapan kluster baharu pula direkodkan pada Khamis dengan lima kes melibatkan kluster tempat kerja dan masing-masing satu kes melibatkan kluster kumpulan berisiko tinggi, komuniti dan institusi pendidikan.

"Daripada 6,377 kes harian dilapor hari ini, sebanyak 101 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 6,276 kes atau 98.4 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Selain itu, sebanyak 32 kes melibatkan kes import terdiri daripada 20 warganegara dan 12 bukan warganegara, manakala kes tempatan ialah 6,345 dengan 6,011 daripadanya warganegara dan 334 bukan warganegara," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Khamis.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sejumlah 564 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 294 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara pada Khamis ialah 0.94 dengan Negeri Sembilan mencatat kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02, manakala Labuan satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!