Malaysia alu-alukan pelantikan Dr Noeleen Heyzer ke Myanmar

Dr Noeleen
Dr Noeleen
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengalu-alukan pelantikan Dr. Noeleen Heyzer sebagai Utusan Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSG) ke Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia percaya Dr Heyzer, bekas diplomat kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mampu menggunakan pengalaman luasnya serta menjadi pendorong ke arah pembabitan bermakna dan konstruktif bagi mencari penyelesaian aman terhadap keadaan di Myanmar.

Beliau berkata, Malaysia sedia untuk menyokong dan terbabit aktif dengan Utusan Khas UNSG ke Myanmar itu serta semua pemegang taruh yang relevan bagi menyambung semula proses politik bagi mencari penyelesaian kukuh dan berwibawa dalam menangani keadaan di negara itu termasuk sedia menerima kehadiran utusan khas itu di Malaysia.

“Oleh kerana tidak banyak kemajuan dicapai berkaitan keadaan sebenar di sana, Malaysia amat bimbang mengenai krisis kemanusiaan di Myanmar serta kesannya terhadap keselamatan serantau.

“Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong secara aktif segala usaha untuk segera menamatkan keganasan serta memulihkan keadaan di sana bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan buat penduduk Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Saifuddin turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada bekas Utusan Khas UNSG ke Myanmar, Christine Schraner Burgener atas perkhidmatan penuh dedikasinya dalam menyokong rakyat Myanmar sepanjang penggal tugasnya bermula April 2018 hingga Oktober 2021.

Menurut agensi berita Xinhua, Setiausaha Agung PBB, António Guterres pada Isnin melantik Noeleen Heyzer dari Singapura sebagai utusan khas yang baharu ke Myanmar.

Heyzer adalah ahli Lembaga Penasihat Peringkat Tinggi Setiausaha Agung PBB mengenai Pengantaraan. Beliau adalah wanita pertama berkhidmat sebagai setiausaha eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk rantau Asia dan Pasifik bermula 2007 hingga 2014.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah menjadi penasihat khas setiausaha agung PBB ke Timor-Leste dari 2013 hingga 2015. Pada 2008-2009, beliau bekerjasama rapat dengan ASEAN, kerajaan Myamar serta PBB dalam program pemulihan bencana Taufan Nargis serta menerajui dialog dengan pemimpin Mynmar berhubung isu pembangunan dan pembasmian kemiskinan. - Bernama