X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Langkawi bakal dibuka kepada semua negara: Nancy

Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara.- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

“Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

“Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi.

Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai sama ada kerajaan akan mengambil langkah sama seperti Singapura dan Thailand dalam mengehadkan kemasukan pelancong luar untuk ke negara mereka.

Beliau ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan dan Sumbangan kepada 15 badan bukan kerajaan dan 20 Penggiat Seni di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Isnin.

Nancy berkata, gelembung pelancongan antarabangsa itu diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu untuk tempoh lama bagi membuka sektor pelancongan kepada pelancong luar kerana ini akan menyebabkan ramai penduduk tempatan kehilangan pekerjaan perlu berfikir secara berilmiah dan munasabah supaya langkah yang diambil membawa kebaikan kepada semua.

“Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi telah menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 November ini dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Langkawi lebih meriah kedatangan pelancong asing


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!