Langkawi lebih meriah kedatangan pelancong asing

Pulau Langkawi akan menerima kedatangan pelancong asing mulai pertengahan November ini.
Pulau Langkawi akan menerima kedatangan pelancong asing mulai pertengahan November ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Industri pelancongan di Langkawi akan menjadi lebih meriah berikutan pulau peranginan tersebut akan menerima kedatangan pelancong asing mulai pertengahan November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pembukaan gelembung pelancongan antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi itu dibuat setelah meneliti cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan tersebut perlulah memenuhi syarat dan pematuhan SOP yang telah ditetapkan, antaranya melibatkan kumpulan sasaran iaitu pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

Kanak-kanak di bawah 18 tahun juga wajib hadir bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah divaksin lengkap.

Senarai negara yang dibenarkan pula tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN).

Selain itu, tiada syarat kuarantin akan dikenakan dan setiap pelancong perlu menetap sekurang-kurangnya tiga hari, menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (PCR-RT) yang mana keputusan wajib dalam bentuk digital atau cetakan.

Bagi pelancong yang melancong melebihi lima hari pula, mereka wajib melakukan ujian saringan pada hari kelima dengan semua kos ditanggung sendiri.

Tambah Perdana Menteri, setiap pelancong juga perlu mempunyai perlindungan insurans minimum RM320,000, wajib menggunakan khidmat pelancongan berlesen di bawah MOTAC dan mempunyai pasport serta visa Pengisytiharan Kesihatan Aku Janji dan Indemniti selain memuat naik serta mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebelum berlepas.

Sebelum ini, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan kemasukan pelancong antarabangsa, mulai November depan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, cadangan tarikh itu mengambil kira cuti persekolahan dan musim sejuk di hemisfera utara, ditambah pula projek rintis gelembung pelancongan yang dibuka selama dua belas hari dari tarikh 16 September lalu menunjukkan kejayaan apabila pulau itu dikunjungi 24,336 pelancong.

Justeru, hasil daripada cadangan yang dikemukakan selain mengadakan perbincangan dengan MOTAC, projek rintis gelembung pelancongan antarabangsa bagi Pulau Langkawi akan dijalankan selama tiga bulan.

Ini bertujuan membolehkan KKM dan MKN menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan yang lain.

Berhubung dengan SOP kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sepertimana dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri turut bersetuju dengan cadangan tersebut.

SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara ‘case-by-case basis’ oleh Jawatankuasa Pekerja Asing yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

SOP kemasukan pekerja asing juga merangkumi empat peringkat iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.