X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Remaja 17 tahun ditahan kes buang bayi

Mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam tong sampah pada pagi Sabtu.
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Polis menahan seorang pelajar Tingkatan Lima untuk membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi perempuan dalam sebuah tong sampah di sebuah blok di Taman Flat Bagan, di sini.

Pelajar perempuan berusia 17 tahun itu ditahan di rumah keluarganya jam 6 petang, pada Sabtu selepas dilaporkan mengalami tumpah darah oleh jirannya yang kemudian menghubungi ambulans dan polis.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, remaja berkenaan melahirkan seorang bayi perempuan pada petang Jumaat seorang diri di dalam tandas rumah keluarganya.

Ketika itu, hanya dia dan adiknya berusia enam tahun berada di rumah sementara bapanya keluar bekerja.

Ibu remaja itu tinggal berasingan sejak berpisah dengan bapanya beberapa tahun lalu.

Ketika ditahan, remaja terbabit didakwa melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungan intim dengan teman lelakinya yang juga rakan sekolahnya.

Dia didakwa panik selepas mendapati bayi tersebut tidak menangis dan percaya bayi itu telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja tersebut.

Katanya, polis sedang memburu teman lelaki remaja itu yang berusia 17 tahun untuk siasatan lanjut.

"Kami akan menahan remaja perempuan itu selepas dia menerima rawatan di HSJ manakala mayat bayinya akan dibedah siasat di hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada pagi Sabtu, seorang lelaki terkejut menjumpai mayat bayi perempuan di tempat pembuangan sampah di sebuah blok di Taman Flat Bagan, di sini ketika sedang membuat kerja pembersihan dan mengutip sampah bersama dua lelaki Myanmar di blok berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!