Jelajah Selangor Bekerja 2021 tawar 3,000 peluang pekerjaan

Mohd Khairuddin (kiri) meninjau siri pertama Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu.
Mohd Khairuddin (kiri) meninjau siri pertama Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jelajah Selangor Bekerja 2021 Siri Pertama yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Sabtu menawarkan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor dan industri.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, sehingga kini, program itu telah menerima hampir 10,000 pendaftaran menerusi portal rasmi Jelajah Selangor Bekerja 2021.

Beliau berkata, antara sektor pekerjaan yang ditawarkan dalam program berkenaan adalah meliputi aeroangkasa, perkhidmatan, pembuatan, pemakanan dan beberapa lagi.

"Siri pertama jelajah ini melibatkan lebih 40 majikan dan syarikat seperti Proton Edar, Parkson Corporation Sdn Bhd, Ayamas Food Sdn Bhd dan lain-lain," katanya selepas meninjau penganjuran program berkenaan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, program berkenaan adalah berkonsepkan temu duga secara hybrid dan fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tambah beliau, temu duga secara terus hanya dibenarkan kepada mereka yang lengkap mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Siri kedua jelajah ini akan diadakan di Kuala Selangor dan orang ramai dijemput hadir," katanya.

Tambahnya, golongan belia dan individu yang mencari pekerjaan boleh mendaftar menerusi pautan www.selangorbekerja.com.my.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Selangor berharap agar inisiatif ini dapat mengembalikan kerjaya kepada mereka yang terjejas dan hilang pekerjaan," katanya.