Residensi mewah jadi stor simpan dadah, penganggur diberkas

Lei Choo (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
Lei Choo (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik seorang penganggur yang menjadikan dua residensi mewah di Kajang, Selangor sebagai stor menyimpan dadah terbongkar selepas suspek diberkas pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya turut merampas dadah methamphetamine seberat 25.27 kilogram (kg) dan heroin seberat 20.66kg bernilai RM1.174 juta.

"Seorang lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan parkir di sebuah residensi mewah pada jam 1.30 petang.

"Kita merampas satu bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 1.05 kilogram (kg)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Lei Choo berkata, serbuan kedua pula, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah unit residensi di lokasi sama.

"Kita merampas 18 bungkusan plastik disyaki dadah heroin seberat 8.05kg dan enam bungkusan plastik disyaki dadah methamphetamine seberat 3.12kg," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyerbu sebuah lagi residensi mewah di Taman Teknologi Mint di Bangi, Selangor.

"Kita merampas 20 bungkusan teh cina yang mengandungi dadah methamphetamine seberat 21.1kg dan 28 bungkusan plastik berisi dadah herion seberat 12.61kg," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lei Choo berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM60,520 dalam serbuan terakhir di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor.

"Modus operandi suspek adalah dengan menyewa kediaman mewah selama dua bulan dengan bayaran antara RM1,200 hingga RM1,800 sebulan sebagai tempat penyimpanan dadah," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

"Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.