Tumpu pembangunan infrastruktur di desa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur yang turut melibatkan kawasan desa dalam Bajet 2022 untuk pemulihan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Pakar Ekonomi daripada Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia membabitkan pembangunan infrastruktur yang berimpak tinggi melalui sistem pengangkutan dan logistik yang turut menghubungkan kawasan luar bandar.

“Sistem pengangkutan dan logistik yang cekap dan inklusif yang boleh meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam, perdagangan serta rangka kerja kawal selia.

“Apabila ini dilaksanakan kita mahu lihat berlaku rangkaian rel dan jalan raya yang lebih bersepadu antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian, bandar dan desa,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, peningkatan kemudahan infrastruktur itu akan mentransformasikan ekosistem logistik dan akan menjadi pemacu perubahan kepada ekonomi dan sosio negara kerana semua kawasan di negara ini dapat dihubungkan dengan mudah dan cepat sekali gus dapat mrngembangkan aktiviti ekonomi ke semua kawasan.

Sementara itu, Pakar Ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kemudahan bekalan air bersih kepada masyarakat desa juga perlu diberi keutamaan oleh kerajaan dalam Bajet 2022.

Katanya, selepas 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat terutama di kawasan luar bandar masih dibelenggu masalah ketiadaan bekalan air bersih, keadaan air paip kotor dan seumpamanya.

Menurutnya, masalah itu yang berlarutan sejak sekian lama menjejaskan kualiti hidup rakyat dan membantutkan perkembangan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Isu-isu infrastruktur perlu diberi perhatian berterusan oleh kerajaan terutama melibatkan bekalan air bersih ini kerana ia adalah kemudahan paling asas.

“Jadi, ia perlu lengkap dahulu. Di kawasan-kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak, masalah bekalan air sangat serius hingga ada yang terpaksa tadah air hujan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemudahan bekalan elektrik dan kemudahan jalan juga perlu diberi penekanan sama oleh pihak kerajaan sebelum melangkah ke depan untuk memperkenalkan kemudahan Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G).

Katanya, pemberian bantuan kewangan dalam bentuk ‘one-off’ sahaja tidak akan menyelesaikan masalah asas yang dihadapi rakyat di desa ketika ini.

“Isu-isu lain dihadapi rakyat di desa sekarang juga berkaitan masalah untuk pasarkan produk pertanian mereka," jelasnya.