X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Kedai makan 'hidang' air ketum diserbu, 12 pelanggan dicekup

Rampasan disyaki air ketum dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Sungai Badak, Kota Setia, Teluk Intan pada Selasa.
A
A

TELUK INTAN - Tindakan licik seorang pengusaha kedai makan menjual air ketum kepada pelanggannya sejak enam bulan lalu terbongkar apabila premisnya di Kampung Sungai Badak, Kota Setia di sini diserbu pihak polis.

Serbuan sekitar jam 11.30 malam pada Selasa itu berjaya menahan 13 individu termasuk seorang wanita dan remaja lelaki yang ketika itu sedang leka minum air ketum.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mereka yang ditahan adalah pemilik premis berusia 52 tahun dan 12 pelanggan berusia lingkungan 17 hingga 58 tahun masing-masing duduk di tiga meja berasingan.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga botol 1.5 liter berisi cecair disyaki ketum yang diletakkan atas meja makan dan dua bekas plastik berisi cecair ketum dengan isipadu 12 liter dari dapur kedai berkenaan.

"Serbuan dilakukan selepas kita mendapat aduan memberitahu gerai makan di kampung itu ada menjual air ketum kepada pelanggan sejak enam bulan lalu.

"Keadaan itu menjadi kegusaran kepada penduduk setempat," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, kebanyakan pelanggan adalah dalam kalangan mereka yang sudah biasa makan di situ.

Katanya, pelanggan boleh membuat pesanan air ketum terus kepada pemilik kedai selepas pesanan makanan dibuat.

"Kesemua yang ditahan termasuk remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah itu telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!