Guru Kafa enggan divaksin akan diberi penerangan kali kedua

Gambar hiasan. (Gambar kecil, Mohd Zawawi)
Gambar hiasan. (Gambar kecil, Mohd Zawawi)
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 130 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor yang enggan menerima vaksin Covid-19 akan dipanggil semula bagi sesi penerangan kali kedua yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu akan melibatkan pakar-pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat yang tepat berhubung pengambilan vaksin berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya mengikut perundangan, guru-guru terlibat yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 boleh ditamatkan kontrak berikutan mereka bukannya berstatus penjawat tetap.

"Namun, kita melihat kepada sumbangan dan peranan mereka yang masih diperlukan jadi kita guna pendekatan bagi memberi pendidikan serta kesedaran kepada pihak terlibat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini guru-guru Kafa terbabit yang sebelum ini menolak untuk mengambil vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September lalu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini turut menzahirkan rasa kecewa atas tindakan pihak terlibat.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, buat masa ini, satu kes kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 direkodkan di Selangor melibatkan seorang guru Kafa yang dilaporkan belum menerima suntikan vaksin.

"Sebab itu pentingnya mereka ini (guru Kafa) divaksin.

Artikel Berkaitan:

"Murid Tahun Satu dan Dua juga akan divaksin, jadi guru juga haruslah menerima suntikan itu bagi menggelakkan risiko lebih bahaya," katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap agar semua guru-guru terlibat akan mendapat maklumat yang tepat selepas sesi penerangan itu bagi membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar.