Polis gagalkan cubaan seludup syabu RM14.33 juta ke Filipina

Razarudin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada 398kg dadah yang berjaya dirampas sambil diperhatikan Ayob Khan (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor, pada Rabu.
Razarudin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada 398kg dadah yang berjaya dirampas sambil diperhatikan Ayob Khan (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan licik sindiket pengedaran dadah antarabangsa meletakkan syabu seberat 398 kilogram (kg) bersama 100 guni kopi di dalam sebuah kontena gagal apabila muatan itu dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas ( PTP) Iskandar Puteri pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil pemeriksaan pada jam 12 tengah hari itu menemukan 14 bungkusan berisi dadah bernilai RM14.33 juta di dalam kontena yang dibawa dari Guatemela menuju ke Manila Filipina.

Katanya, pembongkaran aktiviti sindiket dadah antarabangsa ini merupakan perkongsian maklumat Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSJN) Bukit Aman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia ( JKDM) dan JSJN Johor.

"Hasil imbasan yang dibuat ke atas kontena tersebut, terdapat imej dadah yang dikesan di dalam kontena itu. Selepas kontena dibuka, kontena yang diisytiharkan membawa muatan biji kopi, terdapat 14 bungkusan dadah jenis syabu.

"Bagi mengelak daripada dikesan, bungkusan dadah itu disimpan di dalam guni bersama serbuk pencuci," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Razarudin berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat namun Polis Diraja Malaysia ( PDRM) giat bekerjasama dengan polis antarabangsa mengesan dalang sindiket berkenaan.

Katanya, hasil maklumat awal pihaknya percaya sindiket dadah antarabangsa terbabit disyaki menjadikan negara ini sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke negara ketiga.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang kita tahu, Guatemala bukanlah negara pengeluar dadah. Negara itu terletak di selatan Mexico adalah negara pengeluar kokain dan syabu.

"Kontena itu dibawa dari Guatemala sebelum berpindah kapal melalui Panama, Shanghai, China; Pelabuhan Tanjung Pelepas sebelum dibawa ke Manila, Filipina.

"Siasatan masih dijalankan dengan bantuan polis antarabangsa bagi membantu mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Menurut Razarudin lagi, satu mesyuarat khas bersama JKDM akan diadakan bagi memastikan negara ini tidak dijadikan hab pengedaran dadah ke luar negara.