14 projek komuniti rendah karbon terima geran RM168,000

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (dua dari kanan) menyampaikan geran Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 kepada penerima. - Foto Facebook MBIP
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (dua dari kanan) menyampaikan geran Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 kepada penerima. - Foto Facebook MBIP
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 14 projek komuniti menerima Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 bernilai RM168,000, dalam usaha memupuk semangat dan nilai murni tersebut dalam kalangan masyarakat.

Geran tersebut diberikan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menerusi jalinan kerjasama lingkaran empat dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan SWM Environment Sdn Bhd.

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, program berkenaan merupakan usaha induk MBIP bersama rakan strategik bagi menghargai usaha amalan rendah karbon dalam kalangan masyarakat di Iskandar Puteri selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025.

Beliau berkata, ia sekali gus menterjemah strategi teras Kelestarian Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

“Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 yang julung kali diadakan dan pertama seumpamanya di negeri Johor bertujuan untuk membimbing, menggalak dan mengembangkan usaha komuniti membudayakan amalan rendah karbon di kawasan Iskandar Puteri.

“Sebanyak 64 permohonan (setiap pemohon mewakili satu lokaliti) diterima dan disaring kepada 14 projek komuniti rendah karbon yang bernilai antara RM7,000 hingga RM15,000, dengan berteraskan empat komponen utama; kesukarelawanan dan penglibatan komuniti, pendidikan kesedaran awam dan gaya hidup sihat, infrakstruktur hijau serta pengurusan sisa mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Hafiz berkata, seramai 50,932 orang penduduk di kawasan bandar raya Iskandar Puteri di bawah kategori kediaman bertanah dan bertingkat serta institusi, telah menjayakan Pertandingan Kalendar Iskandar Puteri Rendah Karbon 2021 pada tahun ini melalui usaha penjimatan air, elektrik dan perlaksanaan aktiviti kitar semula di premis masing-masing bermula dari bulan Januari hingga Julai 2021.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia yang telah dilancarkan pada tahun 2012, memerlukan penglibatan dari semua peringkat masyarakat, agensi kerajaan dan swasta, untuk menyokong pembangunan rendah karbon di Iskandar Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Melalui geran ini, pihak IRDA amat berbesar hati untuk berkolaborasi bersama MBIP, UTM, JPNJ dan SWM Environment, dalam mengubah corak pemikiran, meningkatkan kesedaran dan menerapkan gaya hidup rendah karbon melalui penjimatan air dan elektrik dan pengurangan sisa dalam kalangan orang ramai.

“Inisiatif bersama komuniti setempat akan dapat membantu Iskandar Malaysia untuk menjadi wilayah rendah karbon, melalui pengurangan perlepasan karbon intensiti sebanyak 58 peratus untuk tempoh sasaran sehingga tahun 2025, dan seterusnya dapat memastikan pembangunan pesat dapat dilaksanakan dengan kesan yang minimum kepada alam,” katanya. - Bernama